mutakhir

2,629 mangsa banjir di Terengganu

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Jumlah mangsa banjir di Terengganu terus meningkat pada pagi hari ini dengan 2,629 orang daripada 735 keluarga kini ditempatkan di 73 pusat pemindahan sementara (PPS).

Ia menunjukkan peningkatan ketara berbanding yang dicatatkan pada 11 malam tadi dengan 1,817 orang daripada 503 keluarga ditempatkan di 49 PPS.

Sehingga 7 pagi hari ini, semua daerah menunjukkan pertambahan jumlah mangsa menerusi gelombang ketiga banjir yang bermula kelmarin.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, daerah Marang masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi apabila seramai 748 orang daripada 197 keluarga dipindahkan ke sembilan PPS.

Menurutnya, ia menunjukkan pertambahan berbanding hanya 681 mangsa membabitkan 181 keluarga ditempatkan di tujuh PPS pada malam tadi.

"Jumlah mangsa banjir di Setiu juga meningkat apabila 523 orang daripada 140 keluarga dipindahkan ke 22 PPS.

"Di Besut pula, sebanyak 17 PPS dibuka bagi menempatkan 463 mangsa daripada 155 keluarga ketika ini.

"Seramai 284 mangsa daripada 79 keluarga turut dipindahkan di lima PPS di Kuala Terengganu, manakala 211 mangsa daripada 53 keluarga di Kuala Nerus ditempatkan di enam PPS," katanya.

Che Adam berkata, 10 PPS dibuka di Dungun bagi menempatkan 262 mangsa daripada 70 keluarga berbanding hanya tiga PPS membabitkan 60 mangsa daripada 19 keluarga pada malam tadi.

Katanya, seramai 122 mangsa daripada 38 keluarga pula ditempatkan di tiga PPS di Kemaman, manakala Hulu Terengganu merekodkan jumlah mangsa terendah dengan satu PPS dibuka bagi menempatkan tiga keluarga membabitkan 16 mangsa.

Disiarkan pada: December 4, 2020 @ 8:48am
d