mutakhir

Sungai Jenob lepasi paras amaran, Sungai Golok hampiri paras bahaya

Oleh Syaherah Mustafa

Rantau Panjang: Hulu sungai di Kampung Jenob, Tanah Merah menghampiri paras amaran sekali gus menyebabkan Sungai Golok di sini, terdedah ke paras bahaya.

Mengikut laporan infobanjir.water.gov.my, Sungai Jenob mencatat bacaan 22.2 meter pada 8 pagi hari ini dan berada pada paras waspada serta menghampiri amaran.

Sungai Golok pula mencatat bacaan melebihi paras amaran iaitu 8.99 meter, hanya membezakan sebanyak 0.01 meter ke paras bahaya iaitu sembilan meter.

Ketua Balai Bomba Rantau Panjang Imran Ismail berkata, peningkatan paras air berlaku akibat taburan hujan yang tinggi bermula semalam, bukan sahaja di bahagian hulu sungai tetapi di sekitar Rantau Panjang.

"Jika Sungai Jenob terus menunjukkan peningkatan paras air, berkemungkinan Sungai Golok akan mencatat penambahan bacaan dengan lebih cepat kerana menerima aliran air dari sungai terbabit.

"Rekod sebelum ini menunjukkan, Sungai Golok mula melimpah dan menyebabkan banjir di Pekan Rantau Panjang jika paras air melebihi 10 hingga 11 meter, beberapa kawasan rendah di kawasan ini sudah dinaiki air apabila ia mencapai tahap bahaya sembilan meter.

"Semua pihak terutama penduduk sekitar pinggir sungai perlu berwaspada dan peka dengan peningkatan paras air selain berpindah awal bagi mengelak sebarang kemungkinan berlaku," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pihaknya sudah menerima laporan beberapa penempatan di kawasan rendah termasuk Kampung Tasek Bakong, Kampung Tersang, Kampung Kusar dan Kampung Putat Tujuh sudah dinaiki air pada malam tadi.

Disiarkan pada: December 4, 2020 @ 9:21am
d