mutakhir

Episod 'Barang Baik, Barang Kita' Upin Ipin catat rekod

Oleh Rafidah Mat Ruzki

Putrajaya: Siri animasi popular, Upin Ipin bertajuk 'Barang Baik, Barang Kita' meraih 2.9 juta tontonan dalam tempoh 48 jam selepas disiarkan melalui platform, YouTube sejak dua hari lalu.

Episod berkenaan turut menyaksikan penampilan khas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang mendapat maklum balas luar biasa dalam kalangan peminat siri berkenaan.

Alexander menjadi anggota Kabinet pertama membuat kemunculan khas dalam siri animasi yang cukup popular dalam kalangan kanak-kanak di negara ini dan negara serantau.

Jumlah tontonan itu juga mencatatkan rekod pencapaian tersendiri untuk syarikat penerbitan siri animasi popular berkenaan, Les Copaque Production Sdn Bhd.

Alexander dalam satu kenyataan hari ini berkata, penerbitan episod itu sebahagian daripada usaha kementeriannya dalam menyokong Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM), khususnya bagi membantu membina semula ekonomi domestik negara ini dan meningkatkan kuasa beli rakyat.

"Ia jelas memperlihatkan komitmen berterusan kerajaan dalam membantu mempromosikan barangan buatan tempatan yang berkualiti dan setanding barangan luar melalui slogan 'Barang Baik, Barang Kita'," katanya.

Selain itu, beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menggunakan pelbagai pendekatan bagi mempromosikan KBBM di semua peringkat lapisan rakyat, termasuk golongan kanak-kanak.

Pada masa sama, Alexander turut menganggap kemunculannya dalam siri animasi popular itu sebagai pengalaman yang cukup unik dan satu penghormatan untuknya.

Disiarkan pada: December 4, 2020 @ 9:39am
d