mutakhir

Tangisan imam [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

Tumpat: Seorang imam gagal menahan tangisan ketika membacakan doa selepas solat Jumaat di Masjid As-Solihin, Kampung Bendang Pak Yong, di sini, hari ini, apabila mengenangkan keadaan negara yang dilanda pandemik Covid-19, selain kedatangan musim tengkujuh.

Malah, bacaan dalam solat Jumaat yang diimamkan Imam Tuanya, Anuar Daud, kedengaran tersekat-sekat diikuti tangisan kecil ketika membaca doa sejurus selepas solat membuatkan kira-kira 50 jemaahnya turut sebak.

Anuar ketika ditemui berkata, dia sedih mengenangkan pandemik Covid-19 yang tidak berkesudahan dan kini disusuli dengan musim tengkujuh yang membuatkan beberapa kawasan termasuk mukimnya sendiri dilanda banjir.

Dalam nada sebak dan cuba menahan tangis, dia yang sudah 10 tahun dilantik sebagai imam tua di masjid itu meluahkan kebimbangan terhadap anak mukimnya yang rutin mereka kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

"Sudah la dalam situasi wabak Covid-19, banyak kekangan yang perlu dihadapi, kini tiba pula bencana banjir yang semakin membebankan rakyat.

"Saya terkenangkan kehidupan anak mukim di sini yang setiap tahun berdepan dengan banjir termenung yang memakan masa agak lama untuk surut sehingga menjejaskan mereka untuk keluar menjalankan rutin harian," katanya di sini, hari ini.

Setiap kali dilanda banjir, Masjid As-Solihin Kampung Bendang Pak Yong, di sini antara yang terjejas kerana air akan melimpah mencecah paras 1.5 meter dan menyebabkan jemaah akan menaiki perahu sama ada untuk menunaikan solat fardu atau Jumaat.

Setakat lima hari kebelakangan ini, beberapa kampung yang sering terjejas setiap kali banjir antaranya Kampung Bendang Pak Yong, Kubang Sawa, Kuala Jambu, Naga Ibu, Derdap, Simpangan dan Nibong sudah banyak menerima limpahan air sama ada akibat banjir atau daripada Sungai Golok namun mengalami perubahan pasang surut mengikut keadaan cuaca.

Tinjauan di Masjid As-Solihin hari ini mendapati kira-kira 50 jemaah hadir dengan menunggang motosikal dan basikal malah ada berjalan meredah limpahan air sedalam 0.3 meter.

Selain Masjid As-Solihin, Masjid Kampung Kubang Sawa yang terletak kira-kira tiga kilometer dari situ turut terjejas ketika banjir.

Seorang penduduk Kampung Nibong, Mohd Nazri Nordin, 69 berkata, situasi banjir termenung sudah biasa melanda kampung itu termasuk beberapa kampung sekitar.

Dia berkata, disebabkan sering berhadapan dengan situasi sedemikian, solat Jumaat tetap dilaksanakan walaupun air memenuhi perkarangan masjid kerana majoriti penduduk mempunyai bot atau sampan yang membolehkan mereka ke masjid.

"Saya selalunya menunggang motosikal dan jika air terus melimpah sehingga ke paras yang sudah tidak dapat dilalui, saya akan berpatah balik kerana jemaah yang ditetapkan hanyalah 50 orang sahaja pada ketika ini (Covid-19), tapi syukur hari ini dapat juga menunaikan Solat Jumaat," katanya.

Disiarkan pada: December 4, 2020 @ 3:53pm
d