mutakhir

'Saya nak buat modal berniaga'

Oleh Ramli Ibrahim

Gua Musang: "Kalau betul kerajaan tambah bantuan sehingga RM1,000 bolehlah saya buat modal berniaga sendiri," kata orang kurang upaya (OKU), Mohd Saiful Salleh, 31.

Dia yang tinggal di rumah bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) di Kampung Sungai Kepa, dekat sini, berkata, selama ini dia bergantung hidup dengan mengambil upah menggoreng kue tiau sejak 10 tahun lalu.

Namun, dia yang kudung tangan kiri hilang pendapatan selama tujuh bulan apabila operasi pasar minggu ditutup susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu.

"Saya bersama ibu tinggal di sini, dan sepanjang PKP saya menggunakan wang bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan untuk menampung kehidupan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Semalam Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan memberi jaminan, cadangan menaikkan kadar bantuan JKM kepada RM1,000 sebulan, berbanding RM200 hingga RM300 sekarang, akan dilaksanakan segera.

Perdana Menteri dipetik berkata, sebagai kerajaan yang prihatin, beliau akan memastikan golongan itu mempunyai hak dan peluang sama rata untuk menjalani kehidupan seperti anggota masyarakat yang lain.

Mohd Saiful berkata, kadar baharu bantuan bulanan itu amat melegakannya dan dia bercadang menggunakannya sebagai modal berniaga.

Menurutnya, dia mengambil upah menggoreng kue tiau kerana tidak mempunyai kemahiran lain.

Disiarkan pada: December 4, 2020 @ 4:07pm
d