mutakhir

'Nampak tenang, dalam jiwa berkocak'

Oleh Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: "Sebenarnya saya nampak tenang tetapi dalam jiwa dan diri berkelodak... berkocak," kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau mengulas keputusan undi usul percaya yang tidak memihak kepadanya di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Ahmad Faizal berkata, beliau perlu kekal tenang agar kestabilan negeri terjamin di samping mengelak rakyat bertelagah sesama sendiri.

"Juga saya begitu risau bajet (Belanjawan 2021 Perak) tidak sempat saya hendak bentangkan petang ini.

"Saya sebenarnya mengharapkan agar jika pun ada usul percaya ini (ia) dilakukan selepas kita meluluskan bajet, kerana saya bersama barisan Exco dan penjawat awam di negeri ini sudah mengusahakan bajet yang saya fikir sangat baik untuk kita mengemudi kerajaan dan negeri ini dalam keadaan lebih baik.

"Saya perlu mengekalkan ketenangan supaya rakyat di luar tidak bergaduh sesama sendiri, tidak terlalu berpolitik kerana dari mula dulu saya sentiasa mengatakan kita mengutamakan kepentingan rakyat. Bunyi macam retorik tetapi itu yang sebenarnya," katanya ditemui selepas merasmikan Majlis Penyampaian Surat Kelulusan Projek Masjid dan Surau Perak di sini, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Faizal gagal memperoleh majoriti sokongan usul undi percaya terhadapnya yang diusulkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Bharu Datuk Abdul Manaf Hashim.

Abdul Manaf dilaporkan berkata, tujuan usul undi percaya itu adalah bagi menentukan keabsahan (kewibawaan) kepimpinan Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar.

Berita berkaitan

  • Ahmad Faizal tak akan usul bubar DUN
  • Ahmad Faizal mengadap Sultan petang ini
  • Ahmad Faizal jamin peralihan kerajaan Perak berhemah
  • Ahli Bersatu Perak diminta bertenang: Ahmad Faizal
  • MB Perak gagal dapat sokongan majoriti
  • Disiarkan pada: December 4, 2020 @ 4:14pm
    d