mutakhir

Enggan pindah PPS, jaga ayah sakit [METROTV]

Oleh Nor Amalina Alias

Pasir Puteh: Tujuh beranak di Kampung Bukit Gedombak enggan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) meskipun rumah mereka ditenggelami air setinggi satu meter lebih.

Mohd Zawawi Hussin, 50 berkata, mereka bukannya tidak mahu berpindah, tetapi mengambil keputusan itu kerana terpaksa menjaga bapa, Hussin Deraman, 74, yang terlantar menghidap penyakit saraf.

Katanya, mereka sekeluarga juga tidak mahu mengganggu mangsa banjir lain sekiranya berada di PPS berikutan keadaan bapanya yang sakit, selain sukar untuk berulang alik ke tandas.

"Kami memang tak berpindah ke PPS setiap kali banjir, kalau paling teruk pun kami menumpang sementara di bangsal di tepi jalan raya sebab fikirkan ayah.

"Ayah susah nak bergerak, bila ke tandas pun, dia duduk lama, jadi kami ambil keputusan tinggal di rumah, kalau keadaan mendesak barulah kami berpindah, ini untuk keselesaan ayah dan orang lain," katanya ketika ditemui di Kampung Bukit Gedombak, di sini, hari ini.

Mohd Zawawi berkata, jika kawasan rumahnya dinaiki air, dia dan anaknya, Mohd Faris Bakhtiar, 12, akan mengharungi air setinggi satu meter untuk keluar membeli keperluan harian.

Katanya, biasanya dia akan keluar dua kali sehari iaitu sebelah pagi untuk membeli sarapan dan tengah hari.

"Saya akan mengharungi banjir guna kain pelikat dan meredah air yang ketika ini paras pinggang (satu meter lebih) di depan rumah, sejauh 50 meter dari jalan besar," katanya.

Kediaman Mohd Zawawi yang bekerja sebagai tukang cat ditenggelami 'banjir termenung' dipercayai limpahan daripada sungai di kampung berdekatan iaitu Kampung Bukit Abal dan Kampung Telosan.

Banjir termenung itu akan menyebabkan laluan masuk ke rumah Mohd Zawawi ditenggelami air sehingga beberapa hari, malah memakan masa seminggu untuk surut sepenuhnya.

Keluarga lelaki itu adalah satu-satunya penduduk yang belum berpindah di kawasan itu, manakala enam keluarga yang turut mendiami kawasan berkenaan sudah dipindahkan ke PPS Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kamil.

Mohd Zawawi berkata, kesukaran itu menyebabkan mereka sekeluarga juga tidak pernah mendapat sebarang bantuan ketika banjir.

Disiarkan pada: December 4, 2020 @ 5:03pm
d