mutakhir

109 mangsa banjir di Raub

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Satu lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Raub apabila mangsa banjir di daerah itu meningkat kepada 109 berbanding 55 mangsa, pagi tadi.

PPS terbaru dibuka adalah Balai Raya Sengkela, menjadikan lima PPS dibuka di daerah itu berbanding empat PPS sebelum ini.

Menurut portal bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PPS di Masjid Kampung Kuala Semantan menempatkan 38 mangsa daripada 12 keluarga; Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Sungai menempatkan 42 mangsa daripada 11 keluarga, manakala SK Tersang pula merekod 11 mangsa dari tiga keluarga.

Sementara itu, Balai Umno Kampung Batu Talam menempatkan enam mangsa dari empat keluarga dan Balai Raya Kampung sengkela dengan 12 mangsa.

Sementara itu, menurut publicinfobanjir.water.gov.my, paras Sungai Lipis, Batu Malim di Raub yang melebihi paras bahaya dengan bacaan 114.89 meter (m), 8.15 pagi tadi turun kepada 114.61 m pada 4.30 petang ini.

Bagaimanapun, paras air sungai itu masih melebihi tahap amaran 114.24 meter.

Paras normal Sungai Lipis ialah 113.20 m, manakala berjaga-jaga pula pada paras 114 m.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam kenyataan berkata, hujan lebat dijangka berterusan di beberapa daerah di Pahang, iaitu Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin sehingga esok.

"Angin kencang timur laut berkelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Pahang sehingga Isnin ini," katanya.

Disiarkan pada: December 4, 2020 @ 5:26pm
d