mutakhir

Selamat bersara Abu Kassim, usahamu akan diperhebat [METROTV]

Oleh Rafidah Mat Ruzki

Putrajaya: Tan Sri Abu Kassim Mohamed berharap Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 dapat diteruskan kerana ia adalah hasil suara hati dan kehendak rakyat.

Beliau yang menamatkan perkhidmatannya sebagai Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) hari ini berkata, pelaksanaan pelan itu adalah untuk generasi akan datang.

"Saya berharap pelan ini diteruskan kerana ia adalah suara hati dan kehendak rakyat.

"Kita tahu negara ini dimiliki oleh rakyat dan harapan mereka jangan kita abaikan.

"Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) dahulu yang membentuk dan sekarang (Tan Sri Muhyiddin Yassin) yang ingin meneruskannya," katanya kepada media selepas mendaftar keluar buat kali terakhir dari pejabat GIACC di sini.

Abu Kassim juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberi kerjasama kepada GIACC sepanjang beliau menerajui badan itu selama ini selain ketika beliau merangka NACP.

Katanya, beliau amat menghargai pertolongan semua pihak dalam membentuk pelan itu.

Ditanya apa perancangannya selepas ini, Abu Kassim berkata, beliau sudah menubuhkan sebuah koperasi yang akan membantu golongan miskin bandar.

"Kita melihat miskin bandar adalah isu amat penting dan sebagai pesara, saya akan buat apa yang boleh saya lakukan untuk membantu kumpulan miskin di bandar dengan menjalankan pertanian bandar.

"Insya-Allah ia akan dibuat dengan jayanya," katanya.

Terdahulu, kira-kira jam 5 petang tadi, Abu Kassim keluar buat kali terakhir sebagai Ketua Pengarah GIACC selepas menamatkan perkhidmatan lebih dua tahun.

Beliau yang bersara wajib esok, menyentuh kad pas kerjanya pada perakam waktu di Bangunan Perdana Putra yang menempatkan pejabat GIACC.

Abu Kassim, 60, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan memasuki perkhidmatan kerajaan pada 1984 sebagai Pegawai Siasatan di Badan Pencegah Rasuah (BPR) Malaysia.

Beliau juga berkelulusan Ijazah Sarjana dalam bidang 'Criminal Justice' dari Michigan State University, Amerika Syarikat, pernah memegang pelbagai jawatan pengurusan dalam perkhidmatan BPR, antaranya Pengarah Perancangan dan Koordinasi Dasar (1995-1998), Pengarah BPR Perak (2000-2002), Pengarah BPR Pulau Pinang (2003-2005) dan Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (2006).

Abu Kassim juga pernah berkhidmat di sektor korporat apabila dipinjamkan sebagai Ketua Pegawai Integriti di Amanah Raya Berhad (ARB) antara 2006 hingga 2007 sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) BPR pada 2007.

Apabila BPR dinaiktaraf kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2009, beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) dan seterusnya menerajui SPRM sebagai Ketua Pesuruhjaya sehingga 31 Julai 2016.

Abu Kassim juga dikatakan antara individu penting yang terbabit dalam menaiktaraf BPR untuk beroperasi sebagai sebuah suruhanjaya.

Di peringkat antarabangsa, Abu Kassim pernah menjadi ahli fakulti di Akademi Anti-Rasuah Antarabangsa (International Anti-Corruption Academy) (IACA), beliau juga pernah memegang portfolio sebagai Naib Pengerusi Lembaga Governans IACA bagi tempoh 2012 hingga 2015 serta Ahli Lembaga Penasihat Akademik Antarabangsa, IACA bagi tempoh 2010 hingga 2012.

Nama Abu Kassim juga melonjak pada 2015 apabila beliau memulakan siasatan terhadap Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak membabitkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Abu Kassim bersama juga pasukannya menterjemahkan hasrat dan penambahbaikan yang perlu dilaksanakan oleh Malaysia dalam memerangi rasuah melalui sebuah dokumen fizikal yang mengandungi sebuah pelan strategik komprehensif iaitu Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang dilancarkan pada 29 Januari 2019.

Disiarkan pada: December 4, 2020 @ 6:23pm
d