mutakhir

Kononnya hanya klik like, share dah dapat keuntungan

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Petaling Jaya: Hanya perlu klik tanda suka serta kongsi hantaran di media sosial bagi mendapatkan keuntungan mudah.

Itu modus operandi beberapa sindiket penipuan dikesan dilakukan menerusi aplikasi Like & Share, Isharefans, Zan Zan Le, Test Fight dan Queqiabao yang turut dilaporkan di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya menerima 12 laporan polis membabitkan kerugian RM92,562 bagi tempoh Januari lalu hingga semalam.

"Modus operandi sindiket ini adalah membuat iklan melalui Facebook dan Instagram sebelum komunikasi diteruskan melalui WhatsApp.

"Mangsa akan diberi satu pautan URL untuk memuat turun aplikasi bagi membuat pembelian mengikut tahap dikehendaki bermula pada nilai RM99 hingga RM9,900," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, wang pembelian ahli kemudian dimasukkan ke dalam akaun suspek, manakala mangsa diminta untuk menyiapkan tugasan mengikut tahap dipilih.

"Berdasarkan tugasan itu, keuntungan diraih akan dipaparkan pada akaun 'e-wallet' aplikasi mangsa.

"Melalui aplikasi diberi secara percuma pada awalnya, mangsa dikehendaki melakukan tugas klik 'like' dan 'share' di media sosial sebelum menerima bayaran RM1 dengan 20 kali 'like' dan 'share' sehari.

"Mangsa hanya menyedari mereka ditipu apabila jumlah keuntungan dijanjikan tidak dapat dikeluarkan melalui akaun 'e-wallet' berkenaan dan akaun terbabit juga sudah ditutup," katanya.

Beliau berkata, pada musim ramai orang mengalami kesempitan wang ketika ini, terdapat ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan menawarkan keuntungan mudah.

"Justeru, saya mengingatkan orang ramai supaya lebih peka dan tidak terpedaya dengan pulangan lumayan yang dijanjikan dalam masa singkat," katanya.

Disiarkan pada: December 4, 2020 @ 6:25pm
d