mutakhir

Sepatutnya berbincang, bukan ugut, ganggu

Oleh Omar Ahmad

Johor Bahru: Syarikat pinjaman kewangan berlesen dikesan mula bertindak seperti ceti haram atau along dalam mengutip hutang.

Ketua Biro MCA Penyelarasan Hal Ehwal Kerajaan, Michael Tay Chee Boon berkata, syarikat terbabit juga menggunakan taktik seperti along dengan mengugut dan menakut-nakutkan peminjam serta ahli keluarga.

Katanya, berdasarkan aduan yang diterima pihaknya, ada dalam kalangan peminjam kini ketakutan dan bimbang keselamatan mereka terancam oleh pengutip hutang yang diupah syarikat yang bertindak tidak ubah seperti samseng

"Peminjam mempunyai perjanjian yang sah dengan syarikat peminjam berlesen, maka sepatutnya mereka tidak boleh bertindak seperti samseng upahan along termasuk menakut-nakutkan dengan menggunakan cat merah.

"Sekarang semua pihak dalam keadaan susah akibat pandemik Covid-19 termasuk hilang pendapatan. Peminjam seharusnya diberi kelonggaran atau mengunakan budi bicara berlandaskan undang-undang dalam menuntut semula pinjaman," katanya kepada Harian Metro.

Michael Tay turut mendedahkan, along kini menggunakan keldai akaun membabitkan warga asing bagi mengelakkan diri mereka dikesan pihak berkuasa.

"Difahamkan warga asing terbabit dibayar jumlah tertentu bagi setiap transaksi yang masuk ke akaun mereka.

"Masyarakat perlu mengelakkan meminjam daripada along kerana kesan buruknya bukan kepada diri sendiri malah kepada keluarga dan harta benda," katanya.

Untuk rekod, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Johor membuka 398 kertas siasatan berkaitan pinjaman along sejak awal tahun hingga Ogos lalu.

Sebanyak 118 kes yang disiasat oleh Jabatan Siasatan Jenayah dan 280 kes lagi disiasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersil.

Disiarkan pada: December 4, 2020 @ 6:32pm
d