mutakhir

Hadkan lesen syarikat pengimport daging halal - Mufti Johor

Oleh Omar Ahmad

Johor Bahru: Kerajaan disaran melakukan perubahan drastik termasuk menghadkan lesen mengimport daging halal kepada syarikat yang dimiliki orang Islam bagi mengelakkan kegiatan kartel daging tipu label halal.

Mufti Negeri Johor, Datuk Yahya Ahmad berkata, memalsukan makanan haram bagi umat Islam dengan menggunakan label halal adalah perbuatan yang sangat melampau.

Katanya, negara kita tidak lagi boleh bergantung kepada pengesahan halal daripada negara pengeksport semata-mata.

"Perkara ini perlu perhatian dan diambil tindakan oleh pihak berkenaan. Ini kerana terdapat sesetengah negara pengeksport pengesahan halal hanya dikeluarkan oleh pertubuhan masyarakat Islam di negara berkenaan sahaja.

"Keupayaan mereka untuk mengesahkan daging sembelihan yang halal mengikut standard masih tidak dapat diyakini sepenuhnya.

"Sebaliknya perlu sentiasa merujuk bagi mendapatkan pengesahan kepada Jabatan Agama Islam negeri dan JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) selaku pihak berautoriti yang memproses dan mengeluarkan persijilan halal," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, kerajaan juga disaran menghantar pegawai pengesah halal yang ditempatkan di setiap syarikat penyembelihan dan ladang ternakan lembu terpilih membekalkan daging import ke Malaysia.

Mereka perlu memantau setiap masa proses penyembelihan yang dilakukan selaras dengan standard halal yang ditetapkan.

Menurut Yahya, pihaknya turut mencadangkan kerajaan supaya menghadkan bilangan negara-negara pengeksport daging halal ke negara ini.

Katanya, tindakan itu boleh dilakukan selepas mengenal pasti pihak berkuasa negara terbabit mengawal dan memastikan syarikat pembekal daging mematuhi standard kualiti dan halal yang ditetapkan oleh kerajaan.

"Bilangan negara pengeksport yang banyak menyukarkan pihak berkuasa kerajaan mengawal syarikat pembekal dari negara pengeluar mematuhi standard halal yang ditetapkan di negara kita.

"Sudah sampai masanya kerajaan turut menghadkan syarikat yang diberi lesen mengimport daging halal hanya kepada syarikat yang dimiliki orang Islam sama ada pemilikan penuh atau pemegang saham terbesar.

"Hanya orang Islam sahaja yang boleh memahami sensitiviti makanan halal untuk umat Islam," katanya

Mengulas lanjut isu yang disifatkan sangat sensitif itu, Yahya berkata ketulenan halal sesuatu makanan terutama yang membabitkan daging adalah suatu perkara yang sentiasa dijaga dan diawasi oleh masyarakat Islam.

"Pengguna juga memainkan peranan yang penting dalam menangani isu halal daging import ini. Sikap berhati-hati membuat pilihan semasa membeli daging import di pasaran dengan mengenal pasti adanya logo halal Malaysia atau pengesahan halal oleh badan-badan yang diiktiraf di luar negara.

Kelmarin, pihak penguat kuasa pelbagai agensi berjaya membongkar kegiatan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging berkenaan dengan logo halal.

Disiarkan pada: December 4, 2020 @ 6:54pm
d