mutakhir

PPD Kuala Selangor lancar platform bantu pelajar SPM

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Selangor mengambil inisiatif menggunakan platform 'StreamYard' dalam usaha memastikan pelajar, terutamanya calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dapat belajar dari rumah sepanjang tempoh penutupan sekolah susulan Covid-19.

Pegawai PPD Kuala Selangor Mohd Azuan Mohd Nawawi berkata, platform yang dilancarkan sejak bulan lalu dan dipancarkan melalui saluran YouTube itu bakal memberi manfaat kepada 4,600 calon SPM di daerah ini sebagai persediaan menghadapi peperiksaan.

Beliau berkata, pihaknya juga menggalakkan calon mengambil masa dua jam sehari bagi memberi tumpuan kepada program yang telah disusun.

"Hebahan mengenai platform itu dimaklumkan kepada semua pengetua sekolah di daerah ini dan disebarkan kepada ibu bapa pelajar.

"Untuk itu, kita mohon setiap pelajar (calon SPM) mengikuti platform yang telah disediakan agar tiada yang keciciran," katanya hari ini.

Mohd Azuan berkata demikian pada sidang media selepas program Pelancaran Gegar SPM 2020 di PPD Kuala Selangor.

Hadir sama Ahli Parlimen Tanjong Karang Tan Sri Noh Omar yang turut menyempurnakan program itu.

Dalam pada itu, Mohd Azuan berharap lebih ramai calon SPM memperoleh keputusan cemerlang walaupun hanya belajar dari rumah.

"Harapan saya, platform ini akan menaikkan semangat calon untuk belajar bersungguh-sungguh selain menggalakkan rakan lain untuk turut sama berusaha mencapai keputusan cemerlang," katanya.

Disiarkan pada: December 4, 2020 @ 7:42pm
d