mutakhir

Kerajaan bantu pengusaha bas selesai hutang pinjaman kenderaan

Oleh Samadi Ahmad

Putrajaya: Pengusaha bas yang terjejas akibat pandemik Covid-19 boleh menarik nafas lega apabila kerajaan memberi jaminan untuk membantu menyelesaikan beban hutang pinjaman pembelian kenderaan mereka.

Timbalan Presiden Pertubuhan Gemilang Agensi Pelancongan dan Pengusaha Bas Malaysia (GAPP) Wan Shairi Wan Ahmad berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan bertanggungjawab membantu menangani masalah itu.

Beliau berkata, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berjanji membantu menyelesaikan masalah dihadapi mereka melalui pertemuan diadakan hari ini.

Katanya, hasil pertemuan itu dua menteri terbabit akan membantu sebagai 'orang tengah' bagi mengadakan perbincangan dengan pihak kredit agar tidak menekan dan mengenakan tindakan mengikut Akta Kebankrapan 1967 kepada pengusaha bas.

Katanya, kementerian berkenaan juga memaklumkan kerajaan sedang dalam proses menggubal Akta Kredit Pengguna yang dijangka dilaksanakan pada Mac 2021.

"Jaminan diberikan dua kementerian terbabit amat melegakan kami kerana dapat mengelak risiko kenderaan ditarik balik dan berdepan tindakan undang-undang daripada syarikat peminjam kredit," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Zuraida dan Alexander, di sini, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan, pengusaha bas berhadapan kerugian mencecah jutaan ringgit setiap bulan berikutan tidak layak menerima moratorium penangguhan bayaran balik pinjaman pembelian kenderaan itu.

GAPP yang mempunyai 1,200 pengusaha tempatan membeli bas menerusi pembiayaan syarikat kredit yang tidak terbabit dalam program moratorium dilaksanakan kerajaan dan institusi perbankan.

Wan Shairi berkata, hampir 95 peratus pengusaha bas tidak dapat menjelaskan ansuran bulanan sejak beberapa bulan lalu berikutan operasi bas terjejas akibat pandemik Covid-19.

Beliau berkata, pada pertemuan itu, GAPP turut menghantar memorandum memohon kerajaan menggesa syarikat kredit memberi moratorium selama dua tahun kepada pengusaha bas.

Disiarkan pada: December 4, 2020 @ 8:24pm
d