mutakhir

181 bot nelayan asing ceroboh perairan negara [METROTV]

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Lumut: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengusir 181 bot nelayan Indonesia yang dikesan menceroboh perairan Pulau Jarak di sini, dalam Op Benteng.

Pengarah APMM Perak Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, tindakan itu dilakukan Kapal Maritim (KM) Malawali dalam tempoh lima hari penugasan operasi sejak 28 November lalu.

Menurutnya, semua bot nelayan asing itu dikesan berada di sekitar perairan Pulau Jarak secara berkelompok dengan jumlah yang banyak pada sesuatu masa dan terdapat sekurang-kurangnya lima kru termasuk tekong di atas setiap bot.

"Sebanyak 51 bot dikesan di beberapa lokasi iaitu pada jarak 20.5 dan 26 batu nautika Barat Laut, Pulau Jarak pada 6.20 petang hingga 7.05 malam, 28 November lalu.

"KM Malawali seterusnya mengesan 87 bot lain di kedudukan 30.4 batu nautika barat laut Pulau Jarak pada 12.30 tengah hari, 29 November lalu.

"Sebanyak 43 bot lagi dikesan di kedudukan 31.1 batu nautika Barat Laut Pulau Jarak pada 1.30 pagi hasil maklumat pengesanan dari pesawat udara maritim Bombardier CL 415 MP," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Shahrizan berkata, semua bot nelayan asing itu diberikan amaran dan menghentikan aktiviti menangkap ikan serta diarahkan keluar daripada perairan negara dengan segera.

"KM Malawali seterusnya bertindak mengusir semua bot itu dengan cara membayangi sehingga keluar dari perbatasan perairan negara," katanya.

Disiarkan pada: December 4, 2020 @ 9:03pm
d