mutakhir

Paras air Sungai Golok melebihi bahaya

Oleh Syaherah Mustafa

Rantau Panjang: Paras air Sungai Golok menunjukkan trend menaik dengan bacaan 9.41 meter melebihi paras bahaya setakat 8 malam, hari ini.

Ketua Balai Bomba Rantau Panjang Imran Ismail berkata, sungai terbabit menunjukkan peningkatan paras air yang agak ketara bermula 9 pagi kerana air sungai di Kampung Jenob, Tanah Merah berkurangan susulan ia mengalir ke Sungai Golok.

Katanya, daerah ini juga tidak menerima taburan hujan yang lebat tetapi paras sungai bertambah akibat aliran air di bahagian hulu dan banjir berkemungkinan melanda jika malam ini disusuli dengan hujan lebat termasuk di jajahan Tanah Merah atau Jeli.

"Jika dirujuk di laporan infobanjir.water.gov.my, kita dapat lihat sungai di bahagian hulu sama ada di Kampung Jenob, Tanah Merah atau Air Bol di Jeli, kedua-duanya berkurangan berikutan air di sana mengalir 'turun' ke sini.

"Itulah situasi yang biasa berlaku sebelum banjir di Rantau Panjang dan Pasir Mas. Justeru, penduduk terutama berdekatan sungai diminta bersiap siaga kerana air boleh terus meningkat dalam masa yang singkat terutama pada waktu malam.

"Tambahan pula, aliran air tidak dapat keluar ke muara sungai di Pengkalan Kubor, Tumpat, akibat berlakunya air pasang di laut menyebabkan berlaku limpahan yang boleh membanjiri kawasan rendah," katanya ketika dihubungi hari ini.

Di Kelantan, 12 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka membabitkan empat daerah iaitu Pasir Mas, Tanah Merah, Pasir Puteh dan Kota Bharu.

Disiarkan pada: December 4, 2020 @ 9:53pm
d