mutakhir

Banjir Terengganu beransur pulih

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Banjir di Hulu Terengganu beransur pulih apabila semua mangsa yang ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibenarkan pulang.

Ia ditutup secara berperingkat selepas 19 mangsa daripada empat keluarga dibenarkan pulang secara berperingkat.

Sehingga 8 pagi tadi, jumlah mangsa banjir di Terengganu semakin berkurangan apabila hanya seramai 1,621 mangsa daripada 416 keluarga ditempatkan di 48 di PPS di tujuh daerah.

Ia menunjukkan pengurangan berbanding semalam yang merekodkan seramai 2,130 mangsa daripada 550 keluarga di 58 PPS.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, daerah Marang masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi apabila seramai 527 mangsa daripada 138 keluarga di tujuh PPS.

Katanya, sebelum ini, seramai 769 mangsa daripada 203 keluarga ditempatkan di sembilan PPS.

"Jumlah mangsa banjir di Setiu juga menunjukkan sedikit penurunan apabila hanya 268 keluarga daripada 57 keluarga daripada 11 keluarga berbanding hanya 294 mangsa daripada 65 keluarga dipindahkan ke 11 petang semalam

"Di Besut, 11 PPS dibuka bagi menempatkan 359 mangsa daripada 99 keluarga, sementara di Dungun, seramai 166 mangsa daripada 41 keluarga dipindahkan ke lapan PPS," katanya.

Che Adam berkata, jumlah mangsa di Kuala Terengganu turut menunjukkan penurunan apabila hanya 124 mangsa daripada 30 keluarga ditempatkan berbanding 139 mangsa daripada 35 keluarga ditempatkan di empat PPS semalam.

Katanya, lima PPS masih dibuka di Kuala Nerus bagi menempatkan 38 keluarga membabitkan 134 mangsa.

"Di Kemaman, jumlah mangsa menunjukkan penurunan yang ketara apabila hanya 43 mangsa daripada 13 keluarga ditempatkan di dua PPS berbanding seramai 116 mangsa daripada 36 keluarga.

"Insya-Allah dengan cuaca yang baik tanpa hujan hari ini, kita menjangkakan lebih ramai penduduk akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing hari ini.

"Jika ada kawasan rendah yang terbabit dengan banjir termenung, ia mungkin akan memakan sedikit masa untuk air surut," katanya.

Disiarkan pada: December 5, 2020 @ 10:25am
d