mutakhir

Dicekik dan dipukul selepas makan dengan isteri

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Hanya kerana menghalang kereta diparkir, seorang lelaki dicekik selain dipukul sekumpulan individu di Jalan Metro Perdana, Taman Usahawan, Kepong di sini, semalam.

Pada kejadian jam 9.50 malam, mangsa yang berusia 30 tahun bersama isterinya baru selesai makan di sebuah restoran di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, mangsa memarkir kenderaan secara 'double park' dan ia menghalang kenderaan suspek untuk keluar.

"Berang kerana tidak dapat keluar, berlaku pertelingkahan antara mangsa dan tiga individu.

"Mangsa dicekik dan turut diugut kumpulan lelaki itu. Tiga individu terbabit kemudiannya memanggil tiga lagi rakan mereka," katanya pada kenyataan hari ini.

Menurutnya, siasatan mendapati, tiga individu terbabit dipercayai mabuk.

"Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Kepong hari ini. Enam suspek sudah dikenal pasti dan tangkapan akan dilakukan dalam masa terdekat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan," katanya.

tamat

Disiarkan pada: December 5, 2020 @ 2:56pm
d