mutakhir

Gaduh berebut pelanggan rupanya

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Seramai 44 individu, termasuk tiga wanita, yang terbabit dalam pergaduhan di hadapan Plaza Low Yat, Bukit Bintang semalam, direman tiga hari bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, suspek berusia 20 hingga 35 tahun itu ditahan pihaknya di lokasi kejadian.

"Pada jam 8.15 malam, anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bergegas ke lokasi dan menahan 44 individu warga tempatan.

"Hasil siasatan awal, punca pergaduhan tiada kaitan dengan kaum, sebaliknya ia membabitkan sekumpulan lelaki yang tidak berpuas hati akibat pelanggan mereka dikatakan diambil oleh peniaga lain," katanya pada kenyataan hari ini.

Mohamad Zainal berkata, tangkapan membabitkan pemilik kedai, pekerja dan orang awam di lokasi kejadian.

"Kami ingatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri dan mematuhi undang-undang.

"Orang ramai juga diminta supaya tidak menularkan video yang boleh mendatangkan kegusaran awam," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Semalam, tular dua video yang menunjukkan sekumpulan lelaki bergaduh di hadapan Plaza Low Yat.

Berita berkaitan

40 ditahan bergaduh di hadapan Plaza Low Yat

Disiarkan pada: December 5, 2020 @ 3:11pm
d