mutakhir

Anggota Kumpulan Sanjev tumpas

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Sungai Siput: Empat lelaki ditahan kerana dipercayai terbabit dalam beberapa kejadian samun dan pecah rumah di daerah ini dalam tempoh dua bulan sejak Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, penahanan empat suspek anggota Kumpulan Sanjev berusia 20 hingga 33 tahun berjaya menyelesaikan lima kes pecah rumah dan dua kes samun.

Menurutnya, dua daripada suspek ditahan di tepi bangunan Arked MARA, di sini, pada 12.12 tengah hari 28 November lalu.

Katanya, berikutan itu dua lagi anggota kumpulan itu masing-masing berjaya ditajan pada kelmarin dan semalam.

"Kesemua tangkapan mempunyai rekod jenayah termasuk kes dadah dan saringan ujian air kencing mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine dan morfin.

"Hasil siasatan mendapati mereka bertindak mengumpil tingkap untuk memasuki rumah mangsa sewaktu ketiadaan penghun, selain menyamun mangsa di dalam rumah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, antara barang yang dirampas ialah dua motosikal, passport, minuman keras, wang tunai, duit syiling lama, jam tangan serta pisau lipat yang digunakan sebagai senjata.

"Selain itu barang kemas kepunyaan mangsa hasil samun juga dirampas, di samping ganja dan heroin yang ditemui bersama (seorang daripada) mereka," katanya.

Katanya, pihaknya masih mengesan dua anggota kumpulan itu yang masih bebas untuk siasatan mengikut Seksyen 395 dan 457 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: December 5, 2020 @ 3:27pm
d