mutakhir

Bakti Azril terhadap kucing jalanan [METROTV]

Oleh Mohd Khidir Zakaria

Rembau: Sekumpulan pencinta kucing memilih untuk 'berbakti' kepada lebih 100 kucing jalanan di sekitar pekan ini, dengan memberi makanan dan merawat haiwan kesayangan nabi itu.

Kumpulan aktivis diketuai Muhamad Azril Maarof, 38, bersama rakan-rakannya akan melakukan aktiviti itu bermula jam 9 malam di lokasi yang menjadi tumpuan kucing tidak bertuan itu.

Katanya, usaha murni itu bermula Mac lalu ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan kedai makan dan premis perniagaan ditutup.

"Ketika PKP ramai yang terjejas, sama juga dengan kucing jalanan ini yang hilang sumber makanan kerana kedai makan tidak dapat beroperasi.

"Saya mengambil inisiatif sendiri ke lokasi tumpuan kucing seperti kawasan pasar dan medan selera untuk beri makan kepada haiwan ini setiap hari.

"Ketika itu hanya saya seorang, sebelum seorang rakan menemani saya, tetapi sekarang saya ada kumpulan yang mempunyai minat sama turut menyertai kami setiap malam," katanya ketika ditemui di sini.

Melihat keperluan makanan haiwan berkenaan memerlukan dana agak besar, Muhamad Azril mencuba nasib memuat naik dalam Facebook mengajak masyarakat untuk turut menyumbang sama ada dalam bentuk makanan atau wang.

Katanya, dia tidak menyangka ia menarik minat luar biasa masyarakat di sekitar daerah ini yang kini ada turut sama turun padang dan menyantuni kucing jalanan hampir setiap malam.

"Bagi memberi keyakinan kepada masyarakat yang menyumbang, saya akan berkongsi dengan mereka segala resit pembelian makanan kucing dan aktiviti dilakukan.

"Sebenarnya saya kembali melakukan aktiviti ini Oktober lalu kerana mempunyai urusan lain.

"Tapi saya tak sangka masih ada yang mahu membantu dan sanggup turun ke lokasi untuk memberi kucing makan, selain memberi rawatan kepada kucing sakit," katanya.

Selain itu katanya, sebanyak 10 bekas makanan kucing yang diinfakkan orang ramai turut diletakkan di lokasi tumpuan kucing.

Muhamad Azril berkata, dia mendapat kerjasama yang baik daripada kebanyakan pemilik kedai makan yang secara sukarela menjaga dan membersihkan bekas berkenaan.

"Saya tahu usaha kami ini hanya kecil saja, tapi bila kita dapat berbakti walaupun dengan haiwan, rasa seronok dia lain macam, hanya mereka yang 'mencintai' haiwan sahaja dapat merasai," katanya.

Menurutnya, dia kini dalam proses menubuhkan Kelab Kucing di Rembau bertujuan menarik minat lebih ramai pencinta kucing untuk menyertainya sekali gus menjadikan perjalanan aktivitinya lebih tersusun kerana perbelanjaan makan kucing bukan murah.

"Jika ada rezeki dan ada tanah seluas dua hektar di Rembau, saya nak buat Taman Rumah Kucing.

"Semua kucing jalanan ini akan diletakkan di taman itu supaya nasibnya lebih terbela, itu impian saya," katanya.

Disiarkan pada: December 5, 2020 @ 3:58pm
d