mutakhir

Wujud budaya cah keting di Perak?

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Berang: Kemelut politik yang berlaku di Perak dipercayai berikutan wujud budaya 'cah keting' dalam kalangan pemimpin politik di negeri berkenaan.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu Datuk Rosol Wahid berkata, perebutan kuasa antara punca berlakunya pergolakan sehingga membawa kepada perpecahan.

"Apa yang boleh saya katakan berlaku peteh keting atau cah keting, mungkin kerana mahukan kuasa sedangkan kita pada dasarnya sudah ada Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

"Saya harap budaya yang berlaku di Perak itu tidak merebak ke negeri-negeri yang lain.

"Biarlah apa yang berlaku di Perak itu menjadi yang pertama dan terakhir, insya-Allah, kita berharap dan berdoa ia tidak akan berlaku lagi di negeri-negeri lain termasuk di peringkat Parlimen," katanya.

Rosol yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata demikian mengulas mengenai pergolakan politik yang berlaku di Perak.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, sekiranya perebutan kuasa dalam kalangan ahli politik berterusan, ia akan menimbulkan rasa muak dan kebencian rakyat apatah lagi negara masih berdepan dengan pandemik Covid-19 dan banjir.

Bagaimanapun, katanya, pergolakan yang berlaku di Perak tidak menjejaskan kepimpinan dan pentadbiran di peringkat pusat.

Disiarkan pada: December 5, 2020 @ 4:16pm
d