mutakhir

Rumah ditenggelami air, 10 keluar enggan berpindah

Oleh Syaherah

Pasir Mas: Sebanyak 10 keluarga di Kampung Jeram Perdah, di sini, mengambil keputusan untuk terus berada di rumah mereka walaupun terperangkap akibat banjir yang melanda sejak seminggu lalu.

Tinjauan Harian Metro ke kampung berkenaan mendapati mereka yang terdiri daripada lebih 40 mangsa, mempunyai perahu sendiri yang menjadi pengangkutan utama untuk keluar ke kawasan selamat dan tiada air.

Malah, perkarangan rumah mereka dinaiki air separas 0.5 sehingga satu meter, namun tidak memasuki bahagian dalam rumah kerana kebanyakan kediaman di situ dibina tinggi bagi mengelak ditenggelami air.

Penduduk, Aishah Salleh, 54, berkata, mereka sudah biasa dan hampir setiap tahun berhadapan dengan banjir selain rata-rata penduduk di sini mahir mengemudi perahu.

"Jadi tiada masalah untuk kami keluar menggunakam perahu atau bot bagi meredah banjir jika mahu membeli barang keperluan atau berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) jika air semakin bertambah.

"Penempatan kami ini sudah seminggu digenangi air berikutan jarak yang sangat dekat iaitu hampir 200 meter sahaja daripada tebing Sungai Golok. Tempat ini biasanya paling awal dilanda banjir dan paling lewat untuk surut.

"Selagi air tidak mencecah sehingga ke dalam rumah, kami tidak berpindah, tetapi jangan khuatir kerana penduduk di sini sudah tahu masa sesuai jika perlu berpindah selain sentiasa berhati-hati," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Jeram Perdah, di sini.

Mengikut laporan infobanjir.water.gov.my, setakat jam 3 petang, hari ini, Sungai Golok mencatat bacaan 9.57 meter, sekali gus masih melepasi paras bahaya iaitu sembilan meter.

Bagi, Abdullah Daud, 64, dia sudah membuat persiapan awal membeli bekalan makanan dan keperluan asas sebelum air mula membanjiri rumahnya kerana sudah biasa berhadapan situasi itu sebelum ini.

"Jika tahun-tahun sebelum ini, kami perlu menempuhi keadaan sebegini selama sebulan, sehingga cukup tiga gelombang banjir yang biasa berlaku setiap tahun.

"Orang di sini, kalau ada duit mesti utamakan untuk membeli perahu dahulu sebelum kenderaan lain seperti motosikal dan kereta kerana ia sangat penting bila sampai musim sebegini.

"Bagaimanapun, keselamatan tetap dijaga kerana rumah kami seakan-akan di dalam Sungai Golok, tiada pemisah kerana semua tempat dinaiki air," katanya yang juga bapa kepada dua cahaya mata.

Disiarkan pada: December 5, 2020 @ 4:36pm
d