mutakhir

Dapur Kausar bantu gelandangan

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: "Pembabitan dalam dunia sukarelawan sejak remaja menjadi pendorong kepada saya menyelami dan membantu golongan gelandangan," kata Azlin Ali, 41, pengurus pusat gelandangan Dapur Kausar, di sini.

Menurutnya, Dapur Kausar diuruskan Pertubuhan Prihatin Sejagat Negeri Sembilan (PPSNS) dan mula beroperasi awal tahun ini, dengan matlamat membantu golongan berkenaan memastikan mereka mendapat perhatian masyarakat.

"Kami bergerak sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendapat bantuan dan sokongan dalam bentuk dana daripada orang ramai.

"Niat kami bukan untuk mencari nama, tetapi pengalaman saya menyelami kehidupan golongan gelandangan lebih tiga tahun, menerbitkan rasa simpati terhadap golongan ini.

"Justeru, kami berusaha mewujudkan Dapur Kausar sebagai satu alternatif membantu golongan ini yang kebanyakan mereka berusia 50 tahun ke atas," katanya.

Dia ditemui selepas Majlis Menyantuni Gelandangan dan Pelancaran Kelas Agama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) di Dapur Kausar, di sini, semalam.

Azlin berkata, ketika ini terdapat 70 gelandangan yang berdaftar dengan Dapur Kausar, yang kebanyakannya warga emas pelbagai kaum, termasuk mualaf dan transgender.

"Dapur Kausar memberikan makanan percuma kepada mereka. Mulai awal Disember lalu, kami melebarkan lagi perkhidmatan dengan membuka kelas mengaji al-Quran secara percuma yang dijalankan dari jam 2 hingga 4 petang.

"Kami hadkan seramai 10 peserta dalam satu kelas terdiri daripada saudara baru dan golongan transgender dengan peserta termuda berusia enam tahun.

"Mereka mendapat bimbingan daripada Ustazah Fathiyah Doris Abdullah, dari Jabatan Mufti Negeri Sembilan," katanya.

Menurutnya, berikutan sambutan menggalakkan terhadap kelas mengaji berkenaan, pihaknya bercadang menambah satu lagi kelas dalam masa terdekat.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah meluaskan lagi ruang lingkup penerima bantuan makanan membabitkan anak yatim dan keluarga miskin.

Disiarkan pada: December 5, 2020 @ 5:12pm
d