mutakhir

BSN teruskan cabutan SSP

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Bank Simpanan Nasional (BSN) meneruskan pencarian bagi pemenang Cabutan BSN Sijil Simpanan Premium (SSP) untuk bulan November termasuk jutawan ke-11 BSN SSP bagi tahun 2020.

Ketua Pegawai Operasinya Kameel Abdul Halim berkata, cabutan BSN SSP masih dijalankan setiap bulan walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih lagi berlangsung bagi menangani penularan pandemik Covid-19.

Beliau berkata, BSN terus melaksanakan peranan yang dimandatkan oleh kerajaan iaitu menggalakkan amalan menyimpan dalam kalangan masyarakat di samping menyeru rakyat Malaysia berjimat cermat dan menyimpan untuk kegunaan di kemudian hari.

"Bagi pihak BSN, kami akan terus membantu rakyat Malaysia dengan memanfaatkan skim dan bantuan kewangan yang tersedia di samping memastikan kemudahan perbankan kami dapat dinikmati dengan sebaik mungkin," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Sementara itu, Kameel berkata Cabutan BSN SSP bagi Oktober 2020 mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang komprehensif dan ketat seperti penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka, sama seperti sebelum ini.

Acara itu juga disiarkan secara langsung menerusi platform media sosial rasmi BSN, Facebook BSN Malaysia.

Cabutan Istimewa BSN SSP (BSN SSP RM1 juta) bagi Oktober dimenangi oleh Inthiran Bathumalai yang membawa pulang hadiah BSN SSP bernilai RM1 juta, manakala Noor Hayati Yusoh @ Yusof memenangi BMW X1 sDrive20i Sport di bawah kategori Cabutan Bulanan BSN SSP.

Hadiah dalam bentuk BSN SSP dikreditkan terus atas nama pemenang manakala hadiah dalam bentuk barangan seperti kereta dan gajet akan diserahkan kemudian.

Sementara itu, pada acara yang sama BSN juga mengumumkan pemenang bagi Cabutan BSN SSP November 2020.

Senarai nama pemenang boleh disemak di laman sesawang BSN, www.mybsn.com.my, atau BSN's Facebook page @ BSN Malaysia.

"Kini kita telah hampir tiba ke penghujung 2020. Ini bermakna, kita akan mengetahui siapakah yang bakal bergelar Super Jutawan Cabutan BSN SSP Bulan Disember 2020 tidak lama lagi.

"Pemenang bakal membawa pulang, bukan RM1 juta tetapi RM2 juta sekali gus memenangi ganjaran utama Cabutan BSN SSP bagi tahun 2020," kata Kameel.

Pelanggan sedia ada boleh membuat simpanan BSN SSP menerusi kaunter Cawangan BSN, Mesin Teler Automatik (ATM), Mesin Deposit Tunai (CDM), perbankan internet myBSN atau menerusi saluran Ejen Bank BSN (EB BSN).

Bagi pelanggan baharu pula, pembelian BSN SSP boleh dibuat melalui kaunter Cawangan BSN di seluruh negara.

Disiarkan pada: December 5, 2020 @ 5:13pm
d