mutakhir

Banjir di Terengganu beransur pulih

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Banjir di Terengganu beransur pulih apabila lebih ramai mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing secara berperingkat.

Sehingga jam 4 petang tadi, seramai 437 mangsa daripada 107 keluarga masih ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam daerah.

Ia jelas merekodkan penurunan berbanding pagi tadi yang mana jumlah mangsa banjir di Terengganu direkodkan seramai 1,621 mangsa daripada 416 keluarga dan ditempatkan di 48 PPS di tujuh daerah.

Secara keseluruhan, jumlah mangsa di semua daerah yang terjejas menunjukkan pengurangan berbanding pagi tadi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, daerah Kemaman menjadi daerah terbaharu yang menutup PPS apabila seramai 43 mangsa daripada 13 keluarga yang ditempatkan di dua PPS dibenarkan pulang secara berperingkat.

Katanya, daerah Marang yang sebelum ini merekodkan jumlah mangsa tertinggi kini hanya membuka satu PPS bagi menempatkan 35 mangsa daripada sembilan keluarga.

"Pagi tadi, seramai 527 mangsa daripada 138 keluarga ditempatkan di tujuh PPS di Marang.

"Besut kini merekodkan jumlah mangsa tertinggi apabila seramai 242 mangsa daripada 66 keluarga masih berada di lima PPS," katanya.

Che Adam berkata, jumlah mangsa di Kuala Terengganu turut menunjukkan penurunan apabila hanya 30 mangsa daripada lapan keluarga ditempatkan di satu PPS.

Katanya, satu PPS masih dibuka di Kuala Nerus bagi menempatkan 13 mangsa daripada satu keluarga manakala di Dungun, seramai 53 mangsa daripada 11 keluarga masih ditempatkan di dua PPS.

"Cuaca yang semakin baik bermula semalam menyebabkan banyak PPS ditutup dan ketika ini, cuaca di beberapa kawasan masih mendung," katanya.

Disiarkan pada: December 5, 2020 @ 5:17pm
d