mutakhir

Hasrat Orang Asli miliki lesen memandu tidak kesampaian

Oleh Adnan Ibrahim

Kluang: Hasrat 15 penduduk Kampung Orang Asli Pengkalan Tereh dekat sini memiliki lesen memandu tidak kesampaian apabila ditipu oleh seorang lelaki yang menawarkan program pendaftaran lesen memandu motosikal berkelompok yang tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, pihaknya menerima laporan penipuan itu daripada penduduk kampung berkenaan pada 21 hingga 23 Oktober lalu.

Katanya, berikutan daripada laporan itu, pihaknya kini sedang mencari seorang lelaki dikenali Mohd Fahmi Julani, 40, yang dikatakan menjadi penganjur program itu untuk membantu siasatan.

"Siasatan mendapati penduduk kampung berkenaan sudah membayar antara RM50 hingga RM350 seorang membabitkan jumlah keseluruhan RM5,750 bagi mendapatkan lesen motosikal secara berkelompok.

"Manakala hasil semakan ke atas sekolah memandu di daerah Kluang mendapati nama semua mangsa terbabit tiada dalam daftar program berkenaan," katanya melalui kenyataan kepada media hari ini.

Menurut Hang Seng, berikutan itu Mohd Fahmi direkodkan sebagai orang yang dikehendaki dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu dan secara tidak jujur mendorong supaya harta diserahkan.

"Jika sabit kesalahan lelaki berkenaan boleh dipenjara hingga 10 tahun dan juga dikenakan sebat dan denda.

"Polis mohon kerjasama dari orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan suspek boleh menghubungi terus Hotline IPD Kluang di talian 07-7766822," katanya.

Disiarkan pada: December 5, 2020 @ 6:52pm
d