mutakhir

Sabah benar tiga kategori individu masuk

Oleh Rafiqah Dahali

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri memperincikan beberapa ketetapan berkaitan pergerakan keluar masuk Sabah selaras dengan keputusan melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah bermula 7 sehingga 20 Disember ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata, terdapat tiga kategori individu yang dibenarkan masuk ke Sabah ketika pelaksanaan PKPB ini.

"Kemasukan individu ke Sabah adalah dibenarkan untuk lawatan sosial bagi kategori seperti warga negara (pemegang MyKad, MyPR dan MyKAS); pemegang pas imigresen jangka panjang (bukan warga negara) sah tempoh dan suami atau isteri kepada rakyat Sabah serta tanggungan.

"Semua individu yang akan masuk ke Sabah atau dari Sabah ke Semenanjung sama ada melalui pintu masuk udara, laut dan darat perlu menjalani ujian saringan Covid-19 tiga hari sebelum perjalanan.

"Hanya individu yang mempunyai keputusan ujian negatif dan tidak bergejala akan dibenarkan masuk ke Sabah atau dibenarkan keluar dari Sabah untuk meneruskan perjalanan," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Terdahulu, media melaporkan pergerakan merentas daerah dan negeri dibenarkan di seluruh negara, kecuali di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) bermula Isnin ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bermula Isnin ini juga, polis tidak lagi akan melaksanakan sekatan jalan raya, sebaliknya menguat kuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Disiarkan pada: December 5, 2020 @ 10:55pm
d