mutakhir

'Seboleh mungkin kita kekalkan jajaran terdahulu' [METROTV]

Oleh Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak menolak kemungkinan membentuk jajaran baharu politik di negeri Perak, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya seboleh mungkin mengekalkan jajaran politik kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Kita akan melihat semua kemungkinan, saya sebutkan... seboleh mungkin kita kekalkan jajaran yang terdahulu (PN).

"Tetapi jika itu tidak dapat dilakukan tentu ada penyesuaian yang harus dilakukan untuk penjajaran yang baharu," katanya ketika ditemui pemberita sebaik keluar daripada menghadap sembah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta di sini, hari ini.

Ahmad Zahid turut mengulas apabila ditanya jika kemungkinan jajaran politik baharu itu termasuk pihak PH dan DAP.

"Semua kemungkinan akan ada, itu tertakluk pada keputusan muktamad yang akan dilakukan oleh pihak parti," katanya.

Beliau berkata, setakat ini pertemuan sudah diadakan dengan semua ahli DUN Perak yang mewakili UMNO ketika menghadiri Mesyuarat Perhubungan UMNO malam tadi.

"Perbincangan dengan parti lain di negeri itu sudah diadakan oleh pemimpin UMNO dan BN negeri Perak, manakala saya akan mengadakan perbincangan dengan semua pihak di peringkat kepimpinan pusat," katanya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, beliau menghargai keterbukaan Sultan Perak yang berkenan bertemu dengan pemimpin utama parti politik.

"Keterbukaan Tuanku ini tentunya bagi menterjemahkan bahawa keputusan yang dibuat oleh DUN Perak untuk menolak undi percaya yang dikemukakan sebagai satu proses demokrasi.

"Untuk itu UMNO dan BN telah mengambil pendekatan bahawa seboleh mungkin kerajaan yang ada di bawah kepimpinan Menteri Besar yang lalu agar dapat dikekalkan.

"Namun kita tahu bahawa daripada kenyataan Setiausaha Agung PAS dan juga Bersatu, maka satu pendekatan akan diambil oleh UMNO dan BN bagi menentukan pembentukan kerajaan baru tetapi ianya akan mengambil kira semua pertimbangan politik agar kerajaan yang akan terbentuk merupakan kerajaan yang lebih kukuh dokongannya," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan mempersembahkan cadangan senarai nama Menteri Besar baharu kepada Sultan Perak secepat mungkin selepas memuktamadkan perbincangan dengan beberapa pihak.

"Saya akan mencadangkan dan kita meletakkan atas hak Tuanku untuk menentukan secara mutlak siapakah yang akan diperkenankan menjadi Menteri Besar Perak yang baharu nanti.

"Paling penting bajet mesti dibentangkan di DUN Perak dan untuk itu saya sangat menghormati bahawa pentadbiran di negeri Perak itu terus berjalan, ertinya pentadbiran di negeri Perak akan berjalan seperti biasa walaupun ada perubahan pucuk pimpinan," katanya.

Kelmarin, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal memperoleh sokongan majoriti dalam usul keyakinan terhadapnya ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Berita berkaitan

  • Sultan Perak perkenan peletakan jawatan Ahmad Faizal
  • Kerajaan PN Perak mesti dikekalkan - Umno
  • Ahmad Faizal berharap PN Perak tidak berpecah-belah
  • Saarani, Shahrul Zaman, Abdul Aziz disebut-sebut calon MB Perak?
  • Usul undi percaya bukti mendaulatkan sistem demokrasi
  • PAS tidak sertai pembentukan kerajaan Perak baharu
  • 'Nampak tenang, dalam jiwa berkocak'
  • Ahmad Faizal tak akan usul bubar DUN
  • Ahmad Faizal jamin peralihan kerajaan Perak berhemah
  • Ahli Bersatu Perak diminta bertenang: Ahmad Faizal
  • MB Perak gagal dapat sokongan majoriti
  • Disiarkan pada: December 6, 2020 @ 12:24pm
    d