mutakhir

Lelaki maut, kerbau mati disyaki terkena renjatan elektrik

Oleh Juwan Riduan

Papar: Lelaki maut bersama seekor kerbau selepas dipercayai terkena renjatan elektrik di Kampung Kuala Papar di sini, hari ini.

Mayat lelaki berusia 54 tahun itu ditemukan pada 6 pagi oleh penduduk sebelum melaporkan kepada pihak berkuasa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar Roslie Jun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.38 pagi sebelum mengerahkan sebuah jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) bersama tujuh anggota ke lokasi.

Menurutnya, setibanya di tempat kejadian didapati mangsa yang dikenali sebagai Salaman Dollah dalam keadaan terbaring di tepi pagar hadapan rumah bersama seekor kerbau.

"Mangsa dipercayai terkena renjatan elektrik dari tiang elektrik yang terletak di kawasan hujung pagar tempat kejadian berkenaan.

"Anggota bomba kemudiannya menunggu ketibaan pihak SESB (Sabah Electricity Sdn Bhd) untuk tindakan lanjut sebelum diserahkan kepada pihak hospital untuk pemeriksaan," katanya ketika dihubungi.

Roslie berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan selanjutnya.

Disiarkan pada: December 6, 2020 @ 12:37pm
d