mutakhir

'Kita pantau dulu sebelum buat keputusan'-Pas

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Pasir Puteh: Pas akan memantau siapa Menteri Besar Perak yang baharu dan bagaimana pembentukan kerajaan negeri itu dilakukan sebelum membuat sebarang keputusan selanjutnya.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas sentiasa istiqamah dan pendirian parti itu bukan untuk menimbulkan polemik baru.

"Bagi kita secara moralnya apabila kita merasakan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu harus kekal, sepatutnya kita tidak berada bersama (kerajaan baru).

"Justeru, kita akan memantau siapa Menteri Besar yang baharu dan bagaimana pembentukan kerajaan negeri itu dilakukan," katanya kepada media selepas melawat Tidal Control Gate (TCG) di Gong Kulim, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) berkata, pihaknya percaya kemelut politik itu boleh diselesaikan menerusi meja rundingan.

Katanya, rundingan permuafakatan itu penting bagi mencari jalan penyelesaian, bukannya membuat masalah.

"Pas sentiasa berlapang dada untuk duduk semeja dengan Umno bagi menyelesaikan masalah (pelantikan Menteri Besar baru)," katanya.

Ditanya mengenai pendirian yang diambil Pas untuk tidak terbabit dalam pembentukan kerajaan baharu di Perak, Tuan Ibrahim berkata, dua aspek yang perlu dilihat iaitu sama ada menyokong tetapi tidak berada dalam pentadbiran atau bersama dalam kerajaan.

"Jadi tidak bersama itu bukan bermakna tidak menyokong kerajaan tetapi kita tidak duduk di dalam (pentadbiran).

"Bagaimanapun ini akan dibincang, saya yakin Umno akan bincang dengan Pas untuk cari penyelesaian," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Ahmad Faizal gagal memperoleh sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dalam usul undi percaya terhadapnya.

Sebanyak 48 undi tidak menyokong usul berkenaan dan hanya 10 yang menyokong manakala terdapat satu undi rosak atau berkecuali.

Disiarkan pada: December 6, 2020 @ 2:40pm
d