mutakhir

5 anggota BBP Lintas positif Covid-19

Oleh Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas ditutup sementara berikutan lima pegawai dan anggotanya disahkan dijangkiti Covid-19.

Selain itu, semua pegawai dan anggota BBP berkenaan turut diarahkan menjalani proses kuarantin diri dalam usaha mengawal penularan wabak berkenaan.

Bagaimanapun, ia tidak menjejaskan operasi kecemasan berikutan perancangan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah yang melaksanakan penugasan bantuan keanggotaan dari BBP berhampiran untuk membuka semula operasi BBP Lintas.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Kamarulzaman Malik Abdullah berkata, setakat ini BBP Lintas beroperasi seperti biasa dan bersiap sedia berdepan sebarang kemungkinan kecemasan.

"Hasil siasatan mendapati penularan wabak itu dipercayai berpunca daripada ahli keluarga seorang anggota sebelum merebak kepada empat anggota lain sejak 25 November lalu.

"Kami hanya menutup operasi BBP Lintas sementara untuk proses sanitasi sebelum ia dibuka semula dengan penugasan khas anggota dan pegawai dari BBP Kota Kinabalu, BBP Penampang serta BBP Tuaran," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kamarulzaman berkata, ia sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan terutama banjir yang biasa melanda pada hujung tahun.

Beliau berkata, JBPM sudah menyediakan pelan kontigensi untuk bantuan kepada kawasan berpotensi banjir antaranya Kota Belud dan Beaufort.

"Sebagai contoh sekiranya berlaku banjir di Kota Belud, kita akan membuat bantuan penugasan dari bahagian utara seperti BBP Kudat, BBP Kota Marudu dan BBP Ranau.

"Begitu juga sekiranya berlaku banjir di Beaufort, JBPM akan menggerakkan bantuan dari BBP Sipitang dan BBP Keningau termasuk BBP Kota Kinabalu," katanya.

Sehubungan itu, Kamarulzaman mengingatkan kepada semua anggota dan pegawai supaya sentiasa mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan potensi jangkitan.

Katanya, ia bagi memastikan kekuatan keanggotaan JBPM Sabah di semua BBP tidak terjejas dan bersiap sedia sepanjang masa.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: December 6, 2020 @ 3:22pm
    d