mutakhir

Jangan ekstrak dosa laku provokasi

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Pihak tertentu termasuk pembangkang diminta tidak melakukan provokasi dengan mendakwa penerokaan mineral rare earth elements (REE) di Kedah sebagai muslihat untuk menghalalkan aktiviti pembalakan.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata, rakyat perlu menyerahkan perkara itu kepada pakar REE dan tidak membuat andaian sendiri.

"Saya pun hairan ramai pula pakar REE di Kedah dan Malaysia muncul sehari dua ini, tak payahlah main isu ini untuk ekstrak (tambah) dosa.

"Semasa saya masuk pejabat Menteri Besar, sudah tidak ada tempat untuk diluluskan, semua pembalakan yang ada diluluskan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, di kawasan Ulu Muda saja ada 22,000 hektar sedang dalam proses pelesenan penebangan," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan pihak pembangkang, badan bukan kerajaan (NGO) serta orang ramai yang mendakwa penerokaan REE hanya alasan untuk menebang balak di hutan simpan di negeri ini.

Terdahulu, Muhammad Sanusi merasmikan program Kembara Prihatin Negara 2020 Peringkat Negeri Kedah di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusof.

Muhammad Sanusi berkata, permit yang diberikan kerajaan negeri kepada syarikat berkaitan adalah untuk meneroka, bukan untuk mencari gali seperti yang didakwa.

Katanya, beliau sudah melihat video bagaimana REE diekstrak dari bawah tanah dan ia bukanlah proses seperti melombong bijih timah, emas dan bauksit kerana ia menggunakan teknologi tinggi.

"Contohnya dulu di bawah tanah Stadium Bandaraya Pulau Pinang ditemui banyak galian di situ, jadi stadium itu dipindahkan di Batu Kawan, itu antara perkara-perkara yang boleh dilaksanakan apabila terdapat hasil bumi yang ada di Malaysia.

"Sebab itu, Kerajaan Persekutuan bersetuju mengaktifkan kembali Majlis Mineral Negara (MMN) kerana potensi sektor mineral dalam negara. Jadi biarlah agensi berkaitan melakukan kerja mereka, jika ada mineral di bawah tanah kita, maka kerajaan negeri akan memberi kerjasama dan pandangan," katanya.

Rabu lalu, Muhammad Sanusi dipetik berkata, kerajaan Kedah meluluskan permit kepada sebuah syarikat tempatan untuk meneroka mineral di negeri ini yang dianggarkan bernilai RM62 billion.

Mineral jenis REE dan tidak beradioaktif didapati di bawah muka bumi Sik, kawasan UIu Muda, Baling.

Disiarkan pada: December 6, 2020 @ 3:38pm
d