mutakhir

Pemancing hilang selepas bot karam

Oleh Recqueal Raimi

Tuaran: Seorang pemancing hilang selepas bot dinaiki bersama tiga rakannya karam akibat dipukul ombak di muara Sungai Kampung Bolong, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 9 pagi itu, mangsa, Manji Baka, 50, belum ditemui sehingga kini manakala tiga rakan mangsa dilaporkan selamat.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Rosli Abdullah berkata, berdasarkan panggilan kecemasan pada 9.23 pagi, pihaknya dimaklumkan bot gentian kaca dinaiki semua pemancing terbabit karam sejurus terbalik akibat dipukul ombak laut.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan bagi mengesan mangsa di keluasan lima batu nautika dari lokasi akhir mangsa dipercayai hilang.

"Bot ronda APMM Kilat 39 bergegas ke lokasi pencarian disusuli bot ronda PGR 6 dan jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sembulan," katanya.

Beliau berkata, orang awam yang menjalankan pelbagai aktiviti di laut diminta agar membawa wisel serta lampu suluh selain melakukan aktiviti secara berkumpulan dan memakai jaket keselamatan."

Menurutnya, jika berlaku kejadian kecemasan atau kemalangan di laut khususnya perairan Kota Kinabalu, hubungi talian kecemasan 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah di talian 088-387774.

Disiarkan pada: December 6, 2020 @ 4:25pm
d