mutakhir

JKM siasat kanak-kanak jual kacang

Oleh Mohd Khidir Zakaria

Rembau: Kanak-kanak dan remaja di bawah usia 16 tahun tidak dibenarkan bekerja atau mencari nafkah untuk keluarga mengikut undang-undang mengikut Akta Kanak-kanak 2001.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan Negeri Sembilan Nicole Tan Lee Koon berkata, pihaknya menerima maklumat pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Rembau berhubung seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun menjual kacang sambal untuk membantu keluarga.

"Kanak-kanak itu ikhlas membantu keluarga tanpa paksaan dan kami mendapati ibu kanak-kanak itu, Zuratiqa Zainal Abidin, 29, yang menghantar anaknya ke stesen minyak Petronas di Rembau untuk berniaga.

"Kanak-kanak itu akan menjual kacang kepada setiap pelanggan yang mengisi minyak di situ sementara ibunya menunggu di dalam kereta berhampiran stesen minyak. Pendapatan diperolehi selepas ditolak modal sekitar RM120 sehari.

"Menurut ibunya, kegiatan itu dilakukan dua atau tiga kali seminggu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menambah sumber kewangan keluarga," katanya.

Menurutnya, tindakan JKM adalah menasihati dan memaklumkan ibu kanak-kanak itu berhubung kesalahan membiarkan anak di bawah umur keluar bekerja terutama dari segi keselamatan.

"Ini termasuk cubaan eksploitasi tenaga kanak-kanak berikutan ibu bapa sepatutnya berperanan mencari nafkah untuk anak-anak dan bukan sebaliknya.

"Diingatkan juga ibu kanak-kanak itu boleh diambil tindakan kerana melanggar Akta Kanak-kanak dan dia memohon maaf kerana tidak tahu perbuatan itu menjadi satu kesalahan," katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan kegiatan kanak-kanak bernama Alif yang jual kacang sambal bagi membantu keluarga pada 3 Disember lalu.

Kisah itu mendapat pujian ramai atas usahanya membantu keluarga yang terjejas selepas bapanya hilang pekerjaan.

Nicole berkata, ibu kanak-kanak juga diberitahu boleh mohon kedai Majlis Daerah Rembau atau meletakkan kacang sambal di mana-mana premis perniagaan jika berminat.

"Mereka juga dimaklumkan boleh membuat permohonan bantuan JKM jika mengalami masalah kewangan yang serius. Sewaktu siasatan dibuat, bapa Muhammad Alif tiada di rumah kerana keluar bekerja.

"Sejak pandemik Covid-19 kedai makan tempat bapa Muhammad Alif bekerja ditutup menyebabkan dia hilang pekerjaan," katanya.

Kesusahan keluarga ini turut mendapat perhatian selepas dikunjungi Lajnah Kebajikan PAS Negeri Sembilan yang diketuai Pengerusinya, Ishak Omar menyampaikan sumbangan berupa barangan dapur di rumahnya semalam.

Ishak berkata, keluarga itu terkesan sejak pandemik Covid-19 apabila ketua keluarga hilang pekerjaan dan kini melakukan kerja kampung, manakala anaknya membantu bagi menambah pendapatan dengan menjual kacang goreng sambal.

Berita berkaitan

Adik Alif jual kacang bantu keluarga [METROTV]

Disiarkan pada: December 6, 2020 @ 4:26pm
d