mutakhir

Besar pengorbananmu cikgu...

Oleh Adnan Ibrahim

Simpang Renggam: Menjelajah dari rumah ke rumah setiap pelajar yang akan nenduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi memastikan mereka bersedia untuk berhadapan ujian itu.

Pengorbanan besar itu dilakukan oleh tiga guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Machap dekat sini melalui Program Permata Kasih Harapan melalui tugasan Pembelajaran Di Rumah pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPDR) sepanjang musim cuti persekolahan ini.

Pengetua SMK Sri Machap, Tumin Yatman berkata, guru yang terlibat dalam program ini adalah guru bahasa Melayu, Normisiah Apandi; guru sejarah, Suzana Harun dan guru kaunseling, Norhaidah Jumain.

Manakala pelajar yang terlibat adalah mereka yang tinggal jauh di pendalaman kampung di Machap yang tidak mempunyai liputan Internet atau tidak mempunyai akses seperti telefon pintar untuk mengikuti kelas dalam talian yang disediakan pihak sekolah.

"Melalui program ini pihak sekolah mendapat maklum balas terhadap tugasan PdPDR dan pelaksanaan modul hab pendidikan kampung.

"Pelajar yang tidak dapat ke sekolah dan sukar berhubung melalui talian Internet dapat dibantu secara langsung dan lawatan sosial berkala ini diharapkan memberi sinar harapan kepada para pelajar untuk meningkatkan kecemerlangan dalam keputusan SPM nanti," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Menurut Tumin, 12 pelajar Tingkatan Lima di sekolah berkenaan terlibat dalam program ini dan mereka terdiri daripada anak-anak golongan B40 yang berkerja sendiri untuk menyara kehidupan keluarga.

"Melalui program ini, setiap pelajar akan diberikan bimbingan teknik menjawab selain memfokuskan kepada sokongan psikososial iaitu pengurusan emosi pelajar.

"Diharapkan dengan apa yang dilakukan oleh guru berkenaan akan memberikan inspirasi kepada pelajar terlibat untuk membuktikan kecemerlangan mereka dalam ujian SPM nanti,"katanya

Disiarkan pada: December 6, 2020 @ 5:50pm
d