mutakhir

Sarjan Norihan disambut sebagai perwira [METROTV]

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Anggota Batalion 3, Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, Perak, Sarjan Norihan Tari, 39, dibenarkan pulang dari Hospital Pulau Pinang (HPP) dan diiringi pulang ke Kem Batalion 3, hari ini.

Pegawai Pemerintah Batalion 3, Superintendan Rosman Kasman berkata, Norihan dibenarkan keluar dari HPP pada jam 9.30 pagi tadi.

Beliau berkata, Norihan dibawa pulang dengan diiringi pasukan Batalion 3 dari Pulau Pinang ke Bidor jam 12 tengah hari tadi.

"Ketibaan Norihan disambut dengan baik dan layanan sebagai Perwira Negara.

"Keadaan kesihatannya semakin baik dan beliau akan berehat sementara sembuh," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam kejadian jam 3.10 pagi, 24 November lalu, Sarjan Norihan Tari dan rakannya, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, berbalas tembakan dengan penyeludup sewaktu melakukan rondaan Ops Benteng berhampiran pos TS9 Padang Besar, Perlis.

Bagaimanapun Baharuddin terkorban dalam insiden itu selepas ditembak di perut manakala Norihan yang turut terkena tembakan sempat berlari sejauh 1.5 kilometer (km) untuk mendapatkan bantuan di pos TS9 sebelum dihantar ke hospital.

Disiarkan pada: December 6, 2020 @ 6:00pm
d