mutakhir

Marang masih banjir

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Banjir di Terengganu semakin pulih apabila hanya satu daerah sahaja yang terjejas setakat jam 6 petang ini.

Sehingga kini, hanya satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merchang, Marang bagi menempatkan sembilan mangsa membabitkan empat keluarga.

Pagi tadi, lima PPS dibuka di seluruh masing-masing dua di Besut dan Setiu serta satu di Marang bagi menempatkan 295 mangsa daripada 73 keluarga.

Namun, empat PPS itu ditutup selepas semua mangsa dibenarkan pulang secara berperingkat, kecuali satu di Marang.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, sebahagian besar mangsa mula dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing bermula jam 9 pagi tadi selepas banjir mulai surut.

Katanya, banjir yang melanda sejak Rabu lalu berpunca daripada taburan hujan lebat dan takungan air yang banyak.

"Apa yang berlaku boleh dikatakan sebagai banjir termenung kerana air tidak dapat mengalir keluar ke aliran sungai.

"Bagaimanapun, Insya Allah kita difahamkan, pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana peringkat daerah Marang akan melakukan sesuatu untuk membantu menyelesaikan isu berkenaan.

"Setakat ini, air dikatakan masih berada pada paras antara 0.5 hingga 0.7 meter, jika cuaca berterusan berada dalam keadaan baik dalam tempoh antara 24 hingga 48 jam lagi, mereka akan dibenarkan pulang," katanya.

Terdahulu, gelombang ketiga banjir yang melanda Terengganu sejak Rabu lalu mengakibatkan semua daerah di negeri ini terjejas.

Bagaimanapun, cuaca yang baik sejak kelmarin membolehkan mangsa banjir pulang ke rumah secara berperingkat.

Disiarkan pada: December 6, 2020 @ 6:55pm
d