mutakhir

Jenazah anak, ibu mentua Muhammad Syafiq selamat dikebumikan

Oleh BERNAMA

Pendang: Suasana sayu menyelubungi pengebumian anak lelaki dan ibu mentua kepada pemain bola sepak kebangsaan, Muhammad Syafiq Ahmad yang terbabit dalam kemalangan di Pulau Pinang, awal pagi tadi.

Jenazah Muhammad Aisy Saqeef Muhammad Syafiq, 22 hari, dan Zainab Wahab, 46, yang bertolak dari Hospital Sungai Bakap, Pulau Pinang pada 3.30 petang tiba di Kampung Padang Pusing, dekat sini pada 5.55 petang.

Kedua-dua jenazah kemudiannya disembahyangkan oleh ahli keluarga dan penduduk kampung di rumah Allahyarhamah Zainab sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Murai dekat sini, untuk dikebumikan.

Muhammad Syafiq yang juga penyerang pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang berada di tanah perkuburan dilihat sugul sebelum ditenangkan ahli keluarga dan kedua-dua jenazah selamat dikebumikan dalam satu liang kira-kira 8.30 malam ini.

Dalam kemalangan tragis di Kilometer 163 Lebuhraya Utara-Selatan di Sungai Bakap pada 5.36 pagi tadi, bayi lelaki Muhammad Syafiq dan ibu mentua serta pembantu rumahnya wanita warga Indonesia Titik Sukamti, 30-an, maut di tempat kejadian.

Sementara itu, Muhammad Syafiq, 25, dan anak perempuannya Aaira Nur Saffiyya, 2, cedera ringan manakala isterinya, Nur Amalina Norain, 25, pula dilaporkan cedera parah namun stabil.

Sementara itu, bapa Nur Amalina, Norain Shahadan, 50, berkata, arwah isterinya ada menghubunginya dua hari lalu dan meminta untuk mengemaskan rumah kerana ingin membawa balik cucu mereka ke kampung.

"Saya menerima berita itu dari besan, Ahmad Ibrahim, 56, yang menghubungi saya sekitar 6 pagi tadi. Saya seperti tidak percaya apabila dimaklumkan isteri dan cucu sulung lelaki maut dalam kemalangan tetapi saya reda dengan ketentuan Allah.

"Saya hanya sempat berbual sekejap saja dengan isteri dan ketika itu dia maklumkan hendak pulang ke rumah apabila boleh merentas negeri selepas berada di rumah anak dan menantu mereka di Johor sejak perayaan Deepavali lalu," katanya.

Upacara pengebumian itu turut dihadiri Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Dr Mohd Hayati Othman, beberapa pemain Kedah dan juga rombongan daripada Johor termasuk pemain JDT.

Berita berkaitan

Isteri Muhammad Syafiq kucup bayi buat kali terakhir

Jenazah ibu mentua, bayi Muhammad Syafiq akan dikebumi satu liang

Beri peluang Syafiq kembali pulih: Cheng Hoe

Jenazah bayi, ibu mentua Syafiq pulang ke Pendang, Kedah

Tak sangka isteri, cucu pulang sebagai jenazah...

Ayah Syafiq tak sempat jumpa cucu [METROTV]

'Kami sentiasa bersamamu, Syafiq' - TMJ

Syafiq kehilangan anak, JDT FAM ucap takziah

Penyerang JDT terbabit kemalangan, tiga termasuk bayi maut [METROTV]

Disiarkan pada: December 6, 2020 @ 9:19pm
d