mutakhir

Culik pengarah syarikat pelaburan, 6 suspek ditahan

Oleh Skuad Khas Harian Metro

Kuala Lumpur: Sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menahan enam suspek bersangkut kes penculikan pengarah syarikat pelaburan sebelum mangsa dikurung di Jitra, Kedah, pada 30 November lalu.

Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, semua suspek berusia 24 hingga 58 tahun itu kini ditahan dan direman polis Kedah sehingga 10 Disember depan bagi siasatan lanjut.

"Sejumlah wang tebusan dan barang kemas yang dibayar kepada penculik berjaya dirampas oleh polis," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Portal MyMetro hari ini melaporkan, seorang pengarah syarikat pelaburan berdepan detik cemas apabila diculik sekumpulan lelaki sebelum dikurung di inap desa di Jitra, pada 30 November lalu.

Kumpulan berkenaan turut meminta wang tebusan sebanyak RM2 juta untuk membebaskannya.

Sumber dilaporkan berkata, mangsa yang berusia 52 tahun itu diculik sebelum dikurung di sebuah inap desa yang disewa kumpulan terbabit.

"Dalang penculikan terbabit dipercayai seorang anggota keselamatan yang mengarahkan kumpulan itu menculik lelaki berkenaan kerana tidak berpuas hati selepas gagal mendapatkan semula wang pelaburannya," katanya.

Menurut sumber, anak mangsa kemudiannya membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

Huzir dalam kenyataan mengesahkan, dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu ahli perniagaan berkenaan dan isteri diculik empat lelaki bertopeng dari rumah mangsa di Jitra.

"Kemudian kedua-dua mangsa ditahan suspek di satu lokasi lain di Kedah. Penculik meminta wang tebusan sebanyak RM2 juta daripada keluarga mangsa.

"Sebanyak RM250,000 sudah dibayar oleh keluarga mangsa kepada penculik berkenaan. Pada 1 Disember 2020, mangsa dan isterinya dilepaskan oleh penculik selepas gagal mendapatkan baki wang tebusan.

"JSJ Bukit Aman dimaklumkan mengenai kes penculikan ini dan dengan segera memulakan operasi untuk menangkap semua suspek mulai 1 Disember hingga 4 Disember lalu," katanya.

Berita berkaitan

Ahli perniagaan diculik, penculik minta RM2 juta

Disiarkan pada: December 6, 2020 @ 11:57pm
d