mutakhir

Jadi 'hero' atas motosikal sebelum kantoi positif dadah

Oleh Mohd Amin Jalil

Nilai: Tindakan sekumpulan remaja berlagak sebagai samseng jalanan di beberapa lokasi di sekitar daerah ini, akhirnya membawa padah apabila mereka ditahan polis, petang semalam.

Tujuh remaja lelaki ditahan kerana melakukan aksi merbahaya di atas motosikal yang boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain sebelum tiga daripadanya didapati positif dadah.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, tujuh remaja berusia antara 15 hingga 18 tahun itu ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Jalan Persiaran Tasik Senangin, Mahkota Hill Lenggeng, dekat sini, petang semalam.

"Pada 5 petang semalam, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis (IPD) Nilai membabitkan lima pegawai dan 36 anggota menjalankan Op Samseng Jalanan di lokasi berkenaan.

"Hasil risikan dan intipan mendapati sekumpulan penunggang motosikal melakukan aksi merbahaya di atas motosikal.

"Mereka turut dilihat bersaing sesama sendiri hingga boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis menahan 76 motosikal di atas pelbagai kesalahan dan 327 saman dikeluarkan atas 350 kesalahan dilakukan.

Menurutnya, empat remaja lelaki ditangkap mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 manakala tiga lagi remaja lelaki ditangkap mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Merbahaya (ADB) 1952 kerana positif dadah selepas ujian air kencing dilakukan terhadap mereka.

"Sebanyak 18 motosikal disita dan dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Nilai untuk tindakan lanjut.

"Polis akan terus menjalankan operasi seperti ini dari semasa ke semasa dalam usaha membendung kegiatan samseng di jalanan, yang menggugat ketenteraman awam," katanya.

Disiarkan pada: December 7, 2020 @ 3:03pm
d