mutakhir

Ikan laga pun hang nak 'balas'...

Oleh Nur Izzati Mohamad

Kepala Batas: Polis menahan tiga lelaki selepas disyaki mencuri beberapa ekor ikan laga jenis Betta dianggarkan bernilai RM500 dalam serbuan di daerah ini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, serbuan dilakukan susulan polis menerima laporan daripada seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang memaklumkan kehilangan ikan laga miliknya, Rabu lalu.

Menurutnya, dalam kejadian pada 6 pagi, ibu saudara mangsa ternampak tiga lelaki masuk ke dalam kawasan rumah remaja terbabit di Kampung Aman, dekat sini.

"Ibu saudara remaja itu mendapati tiga lelaki itu memegang sauk dan mengambil beberapa ekor ikan laga lalu melarikan diri selepas ditegur.

"Remaja itu kemudian memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati terdapat tiga lelaki memakai topi keledar menceroboh masuk ke dalam rumahnya," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, berdasarkan maklumat, polis berjaya menahan ketiga-tiga suspek berusia 19, 22 dan 36 tahun yang turut terbabit dengan kegiatan mencuri pokok bonsai, baru-baru ini.

"Dalam serbuan itu, polis turut merampas semua ikan laga yang dicuri suspek dan mereka ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.

Disiarkan pada: December 7, 2020 @ 5:05pm
d