mutakhir

'Lembaga' ketuk pintu makin mengganas!

Oleh Ruwaida Md Zain

Pelabuhan Klang: Gangguan ketukan pintu misteri di Sabak Bernam yang kini 'merebak' ke Pandamaran Jaya, di sini, kian membingungkan apabila ia turut membabitkan ketukan pintu bilik di dalam rumah.

Salah seorang mangsa kejadian, Nor Hidayah Salehudin, 29, berkata, kejadian itu turut dialaminya jam 2 pagi tadi apabila pintu keluar ke beranda di bilik tidurnya yang terletak di tingkat atas kediaman diketuk beberapa kali.

"Ketika itu, saya sedang tidur, tiba-tiba bunyi pintu itu diketuk. Saya segera terbangun tidur berikutan bunyi itu agak kuat.

"Saya tidak buka pintu itu berikutan masih dalam keadaan mengantuk. Namun ketukan pintu kali kedua berlaku dengan lebih kuat seolah-olah dilakukan individu dalam keadaan marah.

"Saya kemudian segera membuka ayat suci Al-Quran menggunakan telefon pintar. Saya tidak buka pintu itu kerana takut. Malah saya tidak dapat tidur sehingga ke Subuh, " katanya.

Nor Hidayah yang hanya tinggal berdua bersama ayahnya masih tertanya-tanya individu yang mengetuk pintu biliknya itu.

"Ayah tidur di tingkat bawah, saya tidur di tingkat atas kediaman. Malah ayah mendakwa tidak mendengar bunyi ketukan pintu itu," katanya.

Sementara itu, Mohd Shahrul Ridzwan Mohd Sani, 29 pula berkata, bunyi ketukan iti bukan sahaja didengarinya malah isteri, Asrianti Alias, 27, turut menjadi saksi kejadian.

"Ketika itu jam 1.15 pagi, saya dan isteri sedang tidur di bilik tingkat bawah kediaman. Saya dengar bunyi ketukan sebanyak tiga kali di pintu hadapan rumah.

"Bunyi ketukan itu semakin kuat hingga menyebabkan isteri saya tersedar tidur.

"Saya kemudian keluar dari bilik untuk meninjau kejadaan namun tiada siapa di depan pintu rumah. Malah pagar hadapan turut berkunci," katanya ketika ditemui di rumahnya di Pandamaran Jaya di sini, semalam.

Seorang lagi penduduk yang diganggu dengan ketukan itu, Aryana Rosli, 35, berkata, ketukan sebanyak dua kali berlaku di rumahnya di sini, kira-kira jam 1.40 pagi tadi.

"Ketika itu saya belum tidur dan sedang berbual di telefon bersama suami yang bekerja shift malam. Bunyi ketukan pintu itu didengar berulang kali menyebabkan saya terkejut dan berdebar.

"Saya segera baca ayat suci Al-Quran dan tidur," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli mengesahkan pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis setakat ini.

Disiarkan pada: December 7, 2020 @ 6:27pm
d