mutakhir

Dulu badut kini tukang cat

Oleh Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: "Dulu saya boleh menerima antara 10 hingga 15 tawaran membuat persembahan dalam sebulan tetapi kini, hendak dapat tiga atau empat pun susah," kata bapa dua anak, Zafiez Zamri mengenai nasibnya sebagai badut sepenuh masa sejak negara dilanda Covid-19.

Zafiez, 30, yang menetap di Taman Sri Maju, Perlis berkata, keadaan itu memaksanya mencari alternatif untuk menyara isteri, Nurul Halilah Ismail, 32, dan dua anak berumur empat serta lima tahun antaranya dengan mengambil upah sebagai tukang cat.

Menurutnya, bekerja sebagai tukang cat bagaimanapun tidak menentu kerana hanya ada jika terdapat permintaan.

"Pekerjaan sebagai badut masih dilakukan namun buat masa ini hanya di Tasik Timah Tasoh pada hujung minggu dan di majlis hari jadi jika ada undangan.

"Masa terluang pada hari lain iaitu Isnin hingga Jumaat ketika sebelum cuti sekolah pula saya melakukan kerja rumah dan mengurus anak bagi membantu isterinya yang bekerja sebagai guru Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas)," katanya ketika dihubungi.

Dia berkata, dia menjadi badut sepenuh masa sejak enam tahun lalu iaitu sebelum berumah tangga lagi.

"Sebelum itu, saya pernah bekerja di sebuah resort dekat Langkawi selepas tamat pengajian peringkat Sijil Hospitaliti Pelancongan tetapi cuma setahun saja.

"Mungkin sudah rezeki saya dalam bidang ini walaupun hakikatnya tiada asas dan hanya memakai kostum serta mengedar belon untuk suka-suka pada mulanya," katanya.

Menurutnya, dia boleh meraih pendapatan antara RM4,000 hingga RM5,000 setiap bulan yang cukup untuk melangsaikan komitmen bulanannya .

"Kini tawaran ada tetapi kurang dan saya merasai kesannya sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu hingga kini walaupun Perlis diisytiharkan zon hijau Covid-19," katanya.

Di sebalik ujian itu, Zafiez bersyukur kerana mempunyai isteri yang memahami dan sentiasa ada di sisinya ketika dalam situasi sukar.

"Isteri faham dan banyak membantu cuma jauh di sudut hati rasa serba salah juga kerana hakikatnya saya adalah ketua keluarga yang patut menyediakan semua keperluan.

"Namun, apa yang berlaku pasti ada hikmahnya dan banyak mengajar saya untuk sentiasa bersiap sedia terutama dari segi kewangan.

"Bayangkan, saya selama ini hanya tahu menghiburkan orang ramai sebagai badut tetapi kekurangan tawaran persembahan memaksa saya menjadi tukang cat iaitu satu pekerjaan yang tidak pernah terfikir untuk melakukannya dan bukan semudah disangka," katanya.

Disiarkan pada: December 7, 2020 @ 7:14pm
d