mutakhir

Ahmad Zahid menghadap Sultan Nazrin, esok

Oleh Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijadualkan menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta, di sini, pada 10 pagi esok.

Kehadiran Ahmad Zahid dipercayai bagi menyerahkan sembah maklum pendirian parti terbabit berhubung kemelut terkini politik negeri itu.

Kelmarin, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk turut menghadiri mesyuarat khas Badan Perhubungan UMNO Perak.

Kemelut politik negeri ini bermula selepas bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) gagal memperoleh sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dalam usul percaya yang dikemukakan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Jumaat lalu.

Dalam undian yang dijalankan, Ahmad Faizal yang juga Adun Chenderiang hanya mendapat 10 undi, berbanding 48 undi menolak manakala satu undi berkecuali.

DUN Perak merangkumi 25 Adun Barisan Nasional (BN) yang kesemuanya daripada Umno, DAP (16), Amanah (5), Bersatu (5), PKR (3) dan PAS (3), manakala Gerakan dan Bebas masing-masing satu kerusi.

Disiarkan pada: December 7, 2020 @ 7:28pm
d