mutakhir

Wajah sebenar Hang Tuah?

Oleh Amir Mamat

Ayer Keroh: Orang ramai berpeluang melihat sendiri lakaran sebenar wajah Laksamana Hang Tuah serta empat saudaranya, Hang Jebat, Hang Lekir, Hang Lekiu dan Hang Kasturi di Perkampungan Hang Tuah, Duyong di sini bermula bulan depan.

Ini kerana, lakaran yang digarap pelukis tersohor, Ismail Embong atau dikenali sebagai Maembong itu akan mula dipamerkan di galeri yang terdapat di perkampungan berkenaan bermula 1 Januari ini selepas hasil lukisan itu diserahkan kepada kerajaan negeri semalam.

Penyerahan sebanyak 17 koleksi lukisan itu disempurnakan bekas Ketua Setiausaha Negara, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada satu majlis ringkas di Seri Negeri, di sini semalam.

Yang turut hadir, bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik dan Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Nashruddin Abd Rahman.

Selain lakaran wajah pahlawan Melayu itu, beberapa lukisan yang menggambarkan sejarah perjalanan zaman Kesultanan Melayu Melaka turut diserahkan kepada kerajaan negeri.

Antara lukisan berkenaan, termasuklah lakaran keadaan yang berlaku sewaktu usaha Hang Tuah menjalankan perintah raja untuk meminang Tun Teja selain pergaduhan laksamana itu bersama pahlawan Majapahit yang bernama Taming Sari.

Turut digambarkan, Kapal Mendam Berahi dan Kota Senggarang yang digunakan Hang Tuah serta hulu balang Melaka untuk meminang Puteri Raja Majapahit, Raden Galuh Emas Ayu.

Ahmad Sarji berkata, lukisan yang dianggarkan berharga jutaan ringgit itu dihadiahkan seorang dermawan kepadanya, sebelum beliau mengambil keputusan untuk menyerahkannya kepada kerajaan Melaka bagi tujuan pameran kepada umum.

"Apabila saya menerima lukisan itu, dalam ingatan saya (untuk menyerahkannya) adalah Melaka kerana negeri inilah bermulanya sejarah dan budaya negara, selain di sini juga (bermula) pemerintahan bersultan dan Hang Tuah adalah satu daripada komponen itu.

"Bagi saya, semua artifak silam seperti lukisan ini dikembalikan semula ke tempat asalnya bagi tujuan penjanaan semula sejarah. Jadi pada hemat saya, tempat yang sesuai untuk diletakkan lukisan ini adalah Melaka," katanya selepas menyerahkan lukisan itu.

Sementara itu, Nashruddin berkata, PERZIM dipertanggungjawabkan untuk mengurus serta menjaga lukisan berkenaan.

Sehubungan itu, katanya, tempat untuk mempamerkan semua lukisan berkenaan sudah disediakan di Perkampungan Hang Tuah dan orang awam boleh melihat sendiri seni lukisan yang sangat bermakna itu bermula bulan depan.

"Lukisan itu akan ditempatkan di perkampungan terbabit selamanya dan sudah pasti peminat sejarah serta seni hanya boleh menatap hasil tangan seorang pelukis ternama itu di Melaka kerana di sinilah satu-satunya lokasi pameran lukisan terbabit.

"Memang tercatat dalam sejarah bahawa Hang Tuah berasal di Kampung Duyong, Melaka dan kita kembalikan semula gambaran peristiwa lampau ke tempat asalnya," katanya.

Disiarkan pada: December 8, 2020 @ 11:00am
d