mutakhir

Jururawat pula dakwa dicabul pendakwah selebriti

Oleh Norzamira Che Noh

Shah Alam: Satu lagi laporan polis dibuat terhadap pendakwah selebriti atas dakwaan mencabul Ahad lalu.

Kali ini mangsa adalah seorang jururawat di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur yang mendakwa dicabul suspek pada Disember tahun lalu di sebuah unit studio di Seksyen 7, Shah Alam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, mangsa yang berusia 26 tahun itu tampil membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi pada 4 petang, Ahad lalu dan kes berkenaan kemudian dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

"Difahamkan, mangsa mengenali suspek menerusi media sosial pada 2018 dan mula berkawan sejak daripada itu.

"Modus Operandi (MO) suspek sama seperti kes sebelum ini yang mana dia akan mengajak mangsa keluar makan sebelum membawa mangsa ke rumahnya dengan alasan mahu mengambil barang," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Balai Polis Seri Muda, Seksyen 25, hari ini.

Beliau berkata, dengan laporan terbaru itu, secara keseluruhan pihaknya sudah menerima sembilan laporan membabitkan dakwaan rogol dan cabul.

Bagaimanapun katanya, dua daripada laporan itu diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut atau NFA.

Noor Azam, pihaknya kini masih menjalankan siasatan dan akan lihat dari semua sudut dengan mengumpul maklumat berkaitan.

"Polis akan menjalankan siasatan dengan adil dan semua maklumat yang diperoleh akan dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk keputusan lanjut dan suspek kini masih dalam perintah reman sehingga Jumaat," katanya.

Semalam, suspek yang juga bekas peserta realiti keagamaan itu direman lima hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan polis berhubung dua laporan polis dibuat terhadapnya di Petaling Jaya atas dakwaan merogol, mencabul dan melakukan seks luar tabii.

Polis Petaling Jaya sebelum ini menjalankan siasatan kes mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan (merogol), Seksyen 377C Kanun Keseksaan (seks luar tabii) dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan (mencabul).

Polis daerah Petaling Jaya membuat permohonan reman ke atas suspek bagi membolehkan siasatan dijalankan berhubung dua laporan polis terhadap suspek pada 29 dan 30 November lalu.

Laporan polis pertama dibuat di IPD Petaling Jaya pada 29 November lalu oleh seorang wanita berusia 22 tahun yang juga pelajar kolej swasta atas dakwaan dicabul dan dipaksa melakukan seks oral oleh suspek di sebuah rumah di Damansara Perdana di sini.

Laporan polis kedua dibuat pada 30 November lalu di Balai Polis Damansara oleh seorang guru wanita berusia 22 tahun atas dakwaan dirogol oleh suspek juga di sebuah rumah di Damansara Perdana.

tamat.

Disiarkan pada: December 8, 2020 @ 12:10pm
d