mutakhir

Myfon penghubung banduan, keluarga [METROTV]

Oleh Syaherah Mustafa

Kota Bharu: Banduan penjara di Kelantan diberi peluang berhubung dengan keluarga melalui kemudahan Myfon memandangkan tiada lawatan dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Pengarah Penjara Kelantan, Penolong Kanan Komisioner Mat Yaacob, berkata kemudahan terbabit diperkenalkan sesuai untuk keluarga banduan yang tidak mempunyai rangkaian internet bagi menggunakan aplikasi Skype yang turut diperkenalkan sejak Mac lalu.

Menurutnya, kemudahan Myfon diberi kepada semua banduan kecuali mereka yang dikenakan tindakan tatatertib sebagai pengajaran buat mereka.

"Bagi menggunakan kemudahan ini, keluarga banduan boleh menghubungi pihak penjara dan membeli kad akses bermula RM10 sehingga RM30 dengan waktu dan masa panggilan yang telah diperuntukkan.

"Selain itu, kemudahan ini juga di bawah kawalan pihak penjara dan tidak boleh sewenang-sewenangnya membuat panggilan begitu sahaja kerana diawasi pengawai yang bertugas.

"Myfon adalah salah satu platform untuk membantu banduan berhubung dengan keluarga mengikut norma baharu susulan pendemik Covid-19," katanya ketika ditemui selepas membuat lawatan ke Program Derma Darah di Dewan Tan Sri Murad, Penjara Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Mat berkata, seramai 60 kakitangan penjara termasuk Persatuan Isteri, Anak dan Anggota serta Kakitangan Wanita Penjara Malaysia (PERSIAP) turut serta menderma darah bagi membantu tabung darah Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ II).

"Program menderma darah adalah aktiviti secara berkala yang dilakukan pihak penjara sebagai tanda sokongan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) walaupun kita berhadapan dengan pendemik Covid-19.

"Alhamdulillah, ramai anggota termasuk Persatuan Bekas Pegawai Penjara (EXPOAM) yang memberi kerjasama dengan turut menjadi penderma darah.

"Kita akan teruskan lagi program bermanfaat sebegini sebagai tanda kerjasama kepada pihak Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan termasuk agensi kerajaan yang lain," katanya.

Disiarkan pada: December 8, 2020 @ 12:15pm
d