mutakhir

'Maaf, beri Syafiq masa, ruang' - bapa

Oleh Nur Izzati Mohamad

Georgetown: "Mohon beri masa dan ruang kepada anak saya serta mendoakan mereka sekeluarga diberikan kekuatan untuk menjalani kehidupan selepas dugaan berat menimpa mereka," kata Ahmad Ibrahim, 56, bapa kepada pemain bola sepak kebangsaan, Muhammad Syafiq Ahmad.

Menurutnya, banyak panggilan diterima untuk bercakap dengan anaknya itu namun beliau tidak membenarkan kerana keadaan belum sesuai untuk penyerang Johor Darul Takzim (JDT) itu berkongsi tragedi hitam yang menimpanya.

"Ramai yang menghubungi saya untuk bercakap dengan Syafiq terutamanya media namun saya minta maaf kerana pada masa ini tidak sesuai dan biarlah anak saya fokus terlebih dahulu pada keluarganya.

"Keutamaan Muhammad Syafiq kini adalah pada isterinya, Nur Amalina Norain, 25 yang masih dirawat di Hospital Seberang Jaya (HSJ) serta puteri sulung mereka, Aaira Nur Saffiya, 2," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, keadaan menantunya dilaporkan semakin baik manakala cucunya sudah keluar dari hospital semalam.

"Difahamkan menantu saya akan terus dirawat di hospital itu atas nasihat pakar perubatan yang mahu memantau keadaannya sehingga sembuh.

"Keadaan Syafiq juga kini nampak semakin tenang dan saya tahu dia tidak mahu menunjukkan kesedihan demi memberi semangat kepada isterinya yang pastinya lebih terkesan dengan kejadian itu kerana kehilangan anak yang baru dilahirkan dan ibunya," katanya.

Semalam, media melaporkan isteri kepada pemain bola sepak terbabit selamat menjalani pembedahan di bahagian perut dan dilaporkan stabil.

Nur Amalina dipindahkan dari Hospital Sungai Bakap (HSB) ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) selepas mengadu kesakitan di bahagian perut dan belakang anggota badannya.

Pemeriksaan doktor mendapati Nur Amalina mengalami kecederaan patah tulang rusuk, pendarahan dalam perut dan otak serta patah tulang peha kiri.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi kelmarin, Muhammad Syafiq, 25 yang memandu Toyata Vellfire dari Johor Bahru dalam perjalanan membawa isterinya, Nur Amalina, yang berpantang ke kampung mentuanya di Pendang, Kedah.

Turut menaiki kenderaan terbabit ialah ibu mentuanya, Zainab Wahab, 45, dan dua anak pemain bola sepak itu termasuk Muhammad Aisy Saqeef berusia 22 hari serta pembantu rumah warga Indonesia, Titik Sukamti, 42.

Nahas terbabit mengorbankan Zainab, Muhammad Aisy Saqeef dan Titik.

Berita berkaitan

Jenazah anak, ibu mentua Muhammad Syafiq selamat dikebumikan

Isteri Muhammad Syafiq kucup bayi buat kali terakhir

Jenazah ibu mentua, bayi Muhammad Syafiq akan dikebumi satu liang

Beri peluang Syafiq kembali pulih: Cheng Hoe

Jenazah bayi, ibu mentua Syafiq pulang ke Pendang, Kedah

Tak sangka isteri, cucu pulang sebagai jenazah...

Ayah Syafiq tak sempat jumpa cucu [METROTV]

'Kami sentiasa bersamamu, Syafiq' - TMJ

Syafiq kehilangan anak, JDT FAM ucap takziah

Penyerang JDT terbabit kemalangan, tiga termasuk bayi maut [METROTV]

Disiarkan pada: December 8, 2020 @ 12:47pm
d