mutakhir

Penginapan pekerja asing kotor, sempit [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Bangi: Kotor, tidak teratur dan sempit. Itu keadaan dua tempat penginapan pekerja binaan di Bangi Lama, di sini, yang diperiksa penguat kuasa Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) hari ini.

Pemerhatian wartawan Harian Metro di lokasi penginapan yang dibina menggunakan kontena mendapati, sampah sarap berselerak di segenap kawasan terbabit.

Kontena itu pula dipisahkan kepada beberapa ruang yang dijadikan bilik selain ruang khas dibina menggunakan papan lapis berhadapan kontena yang dijadikan dapur.

Difahamkan, bilik terbabit didiami empat hingga enam pekerja warga Bangladesh serta Indonesia yang bekerja di tapak pembinaan di kawasan berhampiran.

Di kawasan belakang tempat penginapan, ia menempatkan bilik air dan tandas pula tidak berpintu selain terdapat kolah digunakan penghuni untuk mandi.

Malah, laluan antara dua tingkat kontena itu adalah tanah berlopak yang dilapik dengan papan lapis.

Pengarah Standard Perburuhan JTKSM Mohd Asri Abdul Wahab berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan itu bersama pihak Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) jam 10.30 pagi tadi bagi memeriksa keadaan tempat penginapan berkenaan sama ada mengikut standard ditetapkan atau sebaliknya.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati, terdapat isu keselamatan serta kebersihan di dua tempat penginapan pekerja.

"Kami juga dapati tiada katil disediakan pihak penyedia penginapan selain banyak objek lain diletak dalam bilik seperti dapur memasak yang boleh mencetuskan kebakaran.

"Mengikut peraturan, satu bilik yang disediakan mesti mempunyai keluasan ruang tiga meter persegi. Namun, kita lihat, daripada segi struktur, tempat penginapan ini tidak mengikut spesifikasi berkenaan dan ia adalah satu kesalahan.

"Pada masa sama, pihak berkaitan juga perlu menyediakan ruang guna sama seperti tempat makan selain bilik air sempurna. Namun, kita boleh lihat ada bilik air yang tidak berpintu," katanya di lokasi berkenaan.

Mohd Asri berkata, pihak penyedia penginapan juga didapati tidak menyediakan pengawal keselamatan atau penyelia yang menjaga pintu masuk tempat berkenaan untuk proses saringan seperti mengambil suhu sebelum dibenarkan masuk.

"Dalam keadaan penularan Covid-19 ketika ini, pihak terbabit sepatutnya mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa seperti mengambil suhu pekerja yang keluar masuk dari tempat penginapan.

"Ia satu daripada langkah bagi mengelak penularan Covid-19, apatah lagi dengan keadaan bilik penghuni yang sempit sekali gus menyukarkan penjarakan fizikal serta mengehadkan pergerakan mereka," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan membuka kertas siasatan berhubung perkara itu mengikut Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 atau Akta 446.

"Kami menasihati semua majikan, termasuk dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan pembinaan, supaya menjaga kebajikan pekerja daripada segi penyediaan penginapan.

"Ia penting terutama bagi mengelak jangkitan Covid-19 di tempat penginapan pekerja yang menyebabkan wujudnya kluster di tempat kerja termasuk di tapak pembinaan," katanya.

Disiarkan pada: December 8, 2020 @ 1:37pm
d